Thursday, October 23, 2008

Rais, Shahidan dan tender dalam UMNO


Saya mendapat tahu yang Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Shahidan Kassim menyifatkan cadangan sinis Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim supaya jawatan tertinggi parti dipertandingkan secara tender adalah satu penghinaan kepada Umno.
Kata Shahidan , kenyataan Rais itu memalukan Umno apatah lagi dengan statusnya parti keramat yang mendokong dan memperjuangkan hak orang Melayu. Sebagai tindak balas terhadap kenyataan itu, Shahidan secara sinis mencadangkan pencalonan Rais ditender RM1.
" Kita tahu beliau (Rais) ahli bahasa dan kenyataan sedemikian bukan perkara baru bagi beliau.

" Beliau sebelum ini pernah menggelar kumpulan mat rempit sebagai mat setan.

"Justeru, sebelum beliau ambil tindakan untuk tender Umno, saya cadangkan Rais sendiri ditender dan saya akan mulakan tender beliau dengan RM1. Jika beliau mahu tender parti juga, lebih baik beliau tender Semangat 46 yang beliau sertai dulu," katanya yang saya petik dalam sebuah akhbar baru-baru ini.

Bagi saya mudah, Rais membuat kenyataan sinis itu mungkin setelah beliau 'penat' dengan gejala yang sering melanda tetapi seperti mana Shahidan, saya turut merasakan komen Menteri Luar itu sebagai sesuatu yang terlalu keras dan tidak sepatutnya diluahkan secara terbuka.

Namun untuk menafikan pun tidak boleh juga. Orang ada mata, orang ada telinga, orang ada otak untuk menilai dan menafsir budaya politik wang yang berlaku itu

Apapun saya berharap selepas ini, semua orang baik yang pemimpin mahupun yang dibawah, supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan komen terutama yang menyentuh rumah tangga kita di akhbar-akhbar, bukannya apa, musuh-musuh di luar sana menunggu masa saja untuk meruntuhkan parti keramat yang kita warisi sejak sekian lama ini.

Kita ada forum untuk meluahkan ketidakpuasan hati kita terhadap satu-satu perkara, gunakan forum itu.

Meluahkan ketidakpuasan hati dan perasaan marah dalam media sebenarnya hanya membuka pekung di dada sahaja.

Fikir-fikirkanlah.


No comments: