(petikan : http://malaysia-instinct.com/english/)
Antara Mati Pucuk, Impotensi dan Pemilihan UMNO
Written by SHARIFA ANAMARHAEN
Sunday, 12 October 2008 10:40
OLEH ANAMARHAEN ALI
Mati pucuk adalah ‘cacat seks’ yang mengakibatkan seseorang tidak mempunyai keupayaan untuk bersetubuh. Kata doktor, mati pucuk merupakan kecacatan yang serius dan boleh menghancurkan perkahwinan kerana pasangan tidak dapat menghasilkan keturunan.
Orang lelaki yang tidak mampu melaksanakan persetubuhan disebut impoten disebabkan batang zakarnya lembik.
Hendaklah dibezakan antara impoten dan lemah zakar. Impoten adalah orang yang tidak mampu melakukan persetubuhan di mana batang zakarnya lemah, tidak boleh berdiri. Tetapi ia tetap mempunyai nafsu berahi yang amat besar. Sedang orang yang lemah zakar adalah orang yang mempunyai potensi seksual namun dingin sekali nafsunya untuk berhubung kelamin.
Dalam hal ini terdapat tingkat kemampuan seks, iaitu ada orang yang potensi seksualnya sederhana sahaja. Ada yang potensi seksual sangat besar dan ada pula yang sangat dingin .
Walaupun dari segi terma perubatan, mati pucuk, lemah zakar dan impoten merupakan satu keadaan yang berbeza-beza tetapi kesimpulannya ia tetap menjurus pada satu keadaan- ketidakmampuan lelaki menunaikan tanggungjawab batiniahnya.
Apa pula kaitan kecacatan ini dengan UMNO?
Siapa kata tiada kaitan? Ia ada kaitan dan sindrom atau simpton ini mula sama ada disedari atau tidak sudah mula merebak dalam pemilihan UMNO yang sedang rancak berlangsung.
Kita lihat, mereka yang hendak bertanding memang ramai tetapi ada di antara mereka itu sebenarnya mempunyai masalah yang saling tak tumpah seperti mana yang menimpa pesakit-pesakit lemah tenaga batin ini.
Tengoklah, saban hari tak habis-habis pemimpin yang muncul menawarkan diri untuk bertanding tetapi ramai di antara mereka tidak sedar di sebalik kehebatan baju yang dipakai, kereta yang dipandu, banglo yang tersergam, sebenarnya mereka tergolong dalam kelompok ‘orang kurang upaya’ tersebut.
Seperti mana mereka yang mengalami masalah mati pucuk, kita lihat ada pemimpin yang hendak bertanding diketahui tidak segah manapun sumbangan atau kebolehannya memimpin. Ada juga yang bersandarkan pada faktor kewangan dan sedikit kebolehan membuat kerja-kerja parti.
Sentuhan mereka untuk parti pun seperti ‘suam-suam kuku’. Bukan untuk mengatakan bahawa mereka ini tidak sedar diri atau bernafsu besar semata-mata, tetapi orang kata kena berpada-padalah dengan jawatan yang mahu ditandingi.
Kesudian mereka untuk bertanding waima dalam apa jawatan sekalipun sebenarnya sedikit sebanyak mempunyai risiko kepada bangsa Melayu dan parti UMNO itu sendiri. Ada harga yang perlu dibayar!.
Ini kerana sekiranya mereka yang sesuai terpilih, dibimbangi mereka gagal menggalas tanggungjawab yang diberikan oleh jutaan ahli dan kaum Melayu secara keseluruhannya.
Akhirnya parti akan lemah, bangsa tidak boleh berdiri sendiri walaupun nafsu berahi mereka untuk duduk di takhta kepimpinan parti begitu mencanak-canak, seperti mana sindrom mereka yang menghidap masalah impotensi.
Masalah juga akan timbul sekiranya pemimpin yang hendak bertanding ini 'mampu' tetapi tidak mempunyai nafsu atau semangat yang bersungguh-sungguh untuk memperjuangkan nasib parti dan bangsa mereka, seperti mana pesakit yang dikategorikan mempunyai masalah 'lemah zakar'.
Pemimpin seperti ini juga ramai dalam UMNO. Mereka memiliki kuasa, wang dan pengaruh tetapi ia lebih kepada kepentingan diri sendiri dan bukannya untuk melestarikan atau memperkayakan nilai dan kekuatan parti.
Warga UMNO dan orang Melayu sudah terlalu lama memberi kepercayaan kepada mereka walaupun sedar orang yang mereka beri kepercayaan itu mempunyai masalah yang sama seperti mereka yang mengalami masalah impotensi dan lemah zakar.
Jangan biarkan ahli UMNO dan orang Melayu menjadi metafora kepada kesanggupan sang isteri untuk terus setia hidup bersama suaminya walaupun dia sendiri 'dahaga' akan sentuhan hangat daripada insan yang bergelar suaminya itu.
Dan semoga Tuhan memberikan petunjuk kepada ahli UMNO agar memilih pemimpin yang betul-betul 'jantan', yang betul-betul 'sihat' dan yang betul-betul 'berkemampuan'.
Kalau UMNO terus-terusan memiliki pemimpin yang mempunyai penyakit seperti ini, jangan terkejut ahli-ahlinya nanti menuntut 'fasakh!'.
Saturday, October 11, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment