Thursday, October 30, 2008

Kes Bunuh Altantuya

Kes Bunuh Altantuya: Abdul Razak Bebas, Azilah Dan Sirul Azhar Diperintah Bela Diri

SHAH ALAM, 31 Okt (Bernama) -- Penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini daripada tuduhan bersubahat membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Bagaimanapun, dua anggota polis daripada Unit Tindakan Khas, Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, diperintah membela diri terhadap tuduhan itu.

Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin yang membuat keputusan itu berkata beliau mendapati bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Abdul Razak, 48.Mahkamah menetapkan 10 Nov ini untuk Azilah dan Sirul Azhar membela diri.

Azilah dan Sirul Azhar mempunyai tiga pilihan untuk membela diri iaitu memberi keterangan bersumpah, memberi keterangan dalam kandang tertuduh atau berdiam diri.

Kedua-duanya memilih untuk memberi keterangan bersumpah. Azilah dan Sirul Azhar dituduh membunuh Altantuya, 28, di lokasi antara Lot 12843 dan 16735, Mukim Bukit Raja, di sini antara pukul 10 malam 19 Okt dan 1 pagi 20 Okt tahun lepas.

Abdul Razak, pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia, pula dituduh bersubahat dengan mereka di Wilayah Persekutuan antara 9.54 pagi 18 Okt dan 9.45 malam 19 Okt tahun 2006.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mati.Altantuya, ibu kepada dua anak lelaki masing-masing berusia 4 tahun dan 10 tahun, mendapat latihan sebagai guru dan penterjemah dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Rusia di National University of Mongolia.

Mayatnya dilupus dengan cara diletupkan dengan bahan letupan. Cebisan daging dan tulangnya ditemui bertaburan di kawasan Puncak Alam.

Kes sensasi itu mendapat liputan meluas kerana Altantuya dilaporkan datang ke Malaysia untuk mencari Abdul Razak yang didakwa mempunyai hubungan sulit dengannya.

Mahkamah telah mengambil masa selama 151 hari bermula 4 Jun tahun lepas untuk mendengar keterangan daripada 84 saksi pendakwaan sebelum menangguhkan keputusan itu sehingga hari ini selepas kes pendakwaan ditutup pada 23 Jun lepas.

Azilah diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad dan J. Kuldeep Kumar, Sirul diwakili peguam Kamarul Hisham Kamaruddin, Hasnal Redzua Merican and Ahmad Zaidi Zainal manakala Abdul Razak diwakili peguam Wong Kian Kheong.

Pendakwaan pula diwakili Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah, Noorin Badaruddin, Manoj Kurup dan Hanim Rashid.Peguam Karpal Singh, Sangeet Kaur Deo dan Ram Karpal Singh adalah peguam pemerhati bagi keluarga Altantuya.-- BERNAMA

No comments: