Sunday, August 31, 2008

Pengalaman penulis blog setahun jagung...(atau sebulan jagung)

Setelah hampir lebih 2 bulan menulis blog ini, saya perasan satu perkara iaitu blog pro kerajaan memang agak sukar untuk menarik perhatian pembaca di alam maya.

Buat macam mana pun, ada sahaja yang tidak kena.

Namun saya tidak akan berputus asa. Saya lihat sekarang ini umpama satu trend iaitu blog perlu berbentuk membelasah kerajaan baru ia akan terkenal.

Walaupun mungkin blog saya ini tidak akan menjadi popular, tetapi saya yakin akan ada pembacanya juga, mungkin sedikit bilangannya.

Biarlah sedikit, tetapi saya akan tetap meneruskannya. Tidak mengapa.

Ini kerana blog ada kekuatannya yang tersendiri yang sukar untuk disingkap di tempat lain.

Antaranya ialah komen-komen yang terima kerap kali adalah secara langsung dari jiwa pembaca yang meluahkan terus apa yang mereka rasa dalam hati masing-masing.

Saya lihat tidak ada kaedah terbaik atau paling mudah lagi selain medium blog ini untuk mendapatkan maklum balas dari masyarakat.

Saya berjanji, apa jua yang anda komen terutama berkenaan diri saya, akan saya cuba jadikan teladan dan sempadan.

Cuma satu saya pohon, berilah saya peluang untuk menjadi insan dan pemimpin yang lebih baik.

Andai ada yang silap dalam tindakan saya di mata saudara-saudari semua selama ini, saya mohon kemaafan di bulan mulia ini.

Seperkara lagi, saya juga buat masa ini tidak akan mengambil pendirian seperti sesetengah penulis blog yang mempersoalkan isu-isu berkaitan agama atau kaum secara keterlaluan untuk popular.

Tetapi saya akan tetap mempertahankan kesucian agama dan bangsa saya.

Saya ingin memilih jalan tengah...

Saturday, August 30, 2008

Bajet bukti kerajaan prihatin...

Selaku Pengerusi Sekretariat Pembelaan Rakyat, saya melihat Bajet 2009 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai sangat bertepatan dan memahami keperluan rakyat semasa.

Banyak penurunan yang berlaku kali ini. Sama ada secara langsung ke atas barang keperluan rakyat atau secara tidak langsung.

Hampir semua pihak mendapat faedah yang tidak berbelah-bagi lagi.

Diharap bajet seumpama ini akan diteruskan lagi pada masa hadapan agar keyakinan rakyat kepada kerajaan sedia ada dapat dipertingkatkan lagi.

Selain itu, akan lebih indah lagi jika harga minyak dapat dikurangkan (berpandukan penurunan harga minyak dunia) dan harga tol juga disemak kembali.

Beberapa langkah tambahan lagi jika diambil dijangka akan memberikan lebih banyak kelegaan kepada rakyat.

Siapa kata kerajaan yang ada tidak mendengar kata-kata rakyat?

Thursday, August 28, 2008

Mari kita wakaf al-Quran sempena ramadan ini

Ramadan al-Mubarak akan menjelang tidak lama lagi. Marilah kita mengambil peluang ini untuk menambahkan amal kita.

Satu yang mungkin dapat kita lakukan ialah dengan menyertai Program Wakaf al-Quran.

Program ini bertujuan untuk membekalkan al-Quran kepada saudara-saudara Islam kita di negara asing yakni di negara di mana mereka menjadi minoriti dan tidak mendapat perhatian yang wajar dari kerajaan mereka.

Wang yang kita sedahkan akan digunakan untuk membiyai al-Quran bagi kegunaan mereka.

Secara tidak langsung kita membantu melakukan amalan wakaf.

Pahala amalan wakaf akan bertahan selagi mana apa yang kita wakafkan itu kekal digunakan orang ramai walaupun kita telah meninggal dunia.

Program ini dianjurkan secara bersama oleh beberapa NGO iaitu Damai dan Yayasan Restu.

Orang ramai yang berminat untuk membantu boleh menghantar sms dengan menaip WAKAF 1 untuk RM1, WAKAF 2 untuk RM2 dan seterusnya hingga WAKAF 10 untuk RM10 ke nombor 32776.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan mendail 03 5511 9001/2/3 atau dengan melayari www.restu-art.com.

Sumbangan juga boleh disalurkan terus ke Bank Islam Berhad atas nama Tabung Amanah Damai melalui nombor akuan 14041010069493.


Pada rakan-rakan blogers, tolong sebarkan perkara ini demi kebaikkan saudara Islam kita semua terutama di negara lain.

Wednesday, August 27, 2008

Peluru terakhir Anwar Ibrahim...

Akhirnya penduduk Permatang Pauh telah menentukan pilihan mereka....tetap dengan Anwar Ibrahim. Itu hak mereka dan ia sangat dihormati.

Inilah namanya demokrasi dan demokrasi diraikan dengan penuh gemilang di Permatang Pauh.

BN pastinya akan membuat post mortem atau bedah siasat berhubung kekalahan di Permatang Pauh tidak lama lagi.

Sebenarnya, kempen dan sasaran BN sudah amat tepat. Kerja keras berhari-hari sudah mula memperlihatkan tanda-tanda kejayaan dipenghujung kempen.

Keengganan Anwar bersumpah laknat telah membuka mata sebahagian besar penduduk di Permatang Pauh untuk menolak beliau. Di kala itu kejayaan BN juga hampir nyata.

Namun, Anwar tidak boleh diperkecilkan. Beliau yang terkenal dengan politik licik dan belit akhirnya berjaya menggunakan peluru terakhir untuk mengubah senario pilihan raya kecil itu.

Kehadiran Ramlang Porigi, iman Masjid Wilayah Persekutuan yang sebelum itu hadir dalam upacara angkat sumpah pembantu Anwar, Saiful Bukhari telah mengubah segala-galanya.

Biarlah Mufti Wilayah kata Ramlang tidak layak untuk mempersoalkan mengenai sumpah yang dibuat Saiful, namun orang kampung di Permatang Pauh nyata termakan kata-katanya.

Malah sebahagian penduduk menelan bulat-bulat kenyataan yang terbit dari mulut Ramlang.

Ramlang mungkin telah menjadi pemusnah BN di parlimen berkenaan.

Saya yakin kejayaan Anwar tidak mungkin sebesar yang berlaku semalam jika tidak kerana Ramlang. Hampir pasti majoriti beliau mungkin lebih rendah.

Namun, kehadiran Ramlang berlaku pada saat-saat akhir menyebabkan BN tidak sempat menjawab balik dengan sebaik mungkin apa yang dikatakan beliau.

Jadi, akhirnya Anwar yang mendapat untung daripada tindakannya untuk tidak melakukan sumpah.

Monday, August 25, 2008

Penentuan di Permatang Pauh

Selepas meredah hampir 10 hari kempen yang begitu memenatkan di Permatang Pauh, maka kini masa yang dinantikan sudah hampir.

Siapakah yang bakal menjadi pilihan hati penduduk Permatang Pauh.

Walaupun pada awalnya jangkaan memihak kepada Anwar Ibrahim, tetapi kini nampaknya keputusan tidak semudah yang dijangka.

Seperti yang dijanjikan oleh BN, maka saingan sengitlah yang diberikan.

Saya yakin, jika Anwar bertanding di luar Permatang Pauh, kemungkinan besar beliau pasti tewas terutama selepas beliau enggan bersumpah laknat atas dakwaan meliwat pembantunya 'budak kopi' - Saiful Bukhari.

Permainan politik beliau di Permatang Pauh diberikan asakan yang hebat oleh BN.

Ini adalah pilihan raya yang paling dramatik dalam sejarah politik negara dan mungkin yang paling menarik.

Saya juga tidak sabar menantikan keputusannya.......

Thursday, August 21, 2008

Kenapa Anwar tidak mahu bersumpah?

Bila disuruh bersumpah, Anwar kata dalam ceramah dia, "ada ulamak dari luar negara tulis surat berjela-jela cakap 'Anwar, jangan bersumpah'.....ceh, ulamak mana ni? Bagilah nama dan tempat asal dia...setakat cakap sahaja siapa pun boleh.

Sedangkan ulamak tempatan sudah ramai yang kata sumpah laknat seperti yang dibuat Saiful itu boleh dilakukan... contohnya Mufti Wilayah Persekutuan seperti yang disarkan sebuah akhbar baru-baru ini.


KUALA LUMPUR 19 Ogos _ Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mempertahankan sumpah yang dilakukan oleh Mohd. Saiful Bukhari Azlan di Masjid Wilayah Persekutuan pada 15 Ogos lalu sebagai harus dan tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Muftinya , Datuk Wan Zahidi Wan Teh berkata, persamaan zahir terhadap apa yang dilakukan oleh Mohd. Saiful tidak boleh dijadikan asas untuk menyamakan tindakan beliau itu sebagai meniru cara agama Kristian.

"Misalnya paderi Kristian menyebut kalimah 'amin' ketika melakukan upacara doa di gereja, namun umat Islam tidak boleh dianggap meniru Kristian dengan menyebut kalimah 'amin' dalam sembahyang dan ketika berdoa," katanya.

Beliau menjelaskan, hukum harus dan tidak bercanggah tindakan Mohd. Saiful itu boleh dilihat melalui pendapat ulama seperti Al-Allamah Abu Bakar Othman Muhammad Syatta al-Dimyati al-Bakri dalam kitabnya ‘Hasyiah l’anah al-Talibin’.

Katanya, Abu Bakar dalam kitab itu menjelaskan bahawa sumpah atau ‘yamin’ terbahagi kepada dua iaitu dalam perbicaraan di mahkamah dan kedua, di luar perbicaraan.

“Dalam bahagian kedua ini, sumpah sah dilakukan oleh seseorang yang mukalaf dengan pilihan sendiri.

“Perkara yang menjadi objek sumpah pula ialah perkara yang lalu atau yang akan datang, manakala perkara yang digunakan untuk bersumpah ialah nama Allah dan sifat-sifatnya dengan didahului oleh huruf qasam iaitu ‘waw’, ‘ba’ dan ‘ta’.

“Sumpah seperti ini harus dilakukan jika difikirkan perlu, seperti untuk menguatkan percakapan atau kenyataan,” katanya.

Kata Wan Zahidi, melalui penjelasan itu maka sumpah Mohd. Saiful adalah sah sebagai sumpah di luar perbicaraan atau ‘alyamin qhairul qadhaiyah’.

“Dan ia juga bukan sumpah ‘mubahalah’ seperti yang terdapat dalam ayat 61 surah Al Imran kerana ‘mubahalah’ memerlukan persetujuan pihak kedua,” katanya.

Beliau selanjutnya memberikan contoh bagaimana upacara ‘mubahalah’ antara Rasulullah SAW dengan rombongan Nasrani dari Najran tidak berlaku kerana mereka enggan melakukannya dan meminta pilihan lain.

Kata beliau, dalam kitab yang sama menjelaskan mengenai pemberatan sumpah atau ‘taghliz al-yamin’ yang boleh dilakukan daripada segi tempat atau masa.

Katanya, kitab itu menyatakan sumpah dapat diperkuatkan atau diberatkan jika dilakukan selepas sembahyang asar hari Jumaat, dalam masjid di sisi mimbar, meriba mushaf (al-Quran) dan meletak tangan di atasnya atau dibacakan kepadanya ayat 77 daripada surah al-Imran.

Mengenai hukum meletak tangan atas mushaf , Wan Zahidi turut memberikan beberapa contoh fatwa tambahan selain dari kandungan dalam kitab Hasyiah l’anah al-Talibin’.

Katanya, Mantan Mufti Mesir 1945 hingga 1950, Al-Sheikh Hasanin Muahammad Makhluf dalam kitabnya, ‘Fatwa Syariyyah’ ketika menjawab soalan mengenai hukum bersumpah dengan mushaf, beliau memetik pendapat Al-Imam Al-Aini seperti berikut:

“Jika seseorang bersumpah dengan mushaf atau meletakkan tangan ke atasnya, atau berkata;
Demi Quran ini - maka ia adalah sumpah yang sah mengikut pendapat Imam Syafie, Hanafi dan Hambali.

Tambah beliau, Shaikh Muhammad Abu Zuhra dalam bukunya ‘Fatawa al-Sheikh Muhammad Abu Zuhra’ dalam jawapannya kepada soalan tentang hukum bersumpah dengan nama Allah dengan meletakkan tangan atas mushaf menyatakan;

``Bersumpah dengan nama Allah dengan meletakkan tangan ke atas mushaf adalah sumpah yang sah.’’

Justeru kata beliau, huraian yang diberikan dapat memperlihatkan dengan jelas bahawa sumpah yang dibuat Mohd. Saiful adalah menepati ajaran Islam dan tidak meniru Kristian.

Menurut Wan Zahidi, penjelasan daripada pihaknya adalah perlu memandangkan wujud percanggahan pandangan pelbagai pihak berhubung tindakan Mohd. Saiful itu.

---------------------------------------------------------------------------------------------
Sekarang, saya hendak mencabar Anwar sekali lagi... angkatlah sumpah kalau benar anda tidak bersalah.....jangan guna alasan ulamak luar negara tidak bagi, apakah ulamak dalam negara tidak setimpal ilmu mereka....jangan bagi alasan lagi.....buat segera!

Monday, August 11, 2008

Jangan ragu-ragu menggunakan Akta Hasutan atau ISA.

Hanya kerana satu kumpulan kecil yang hendak jadi jaguh kebebasan bersuara (Kebebasan bersuara satu belah sahaja), tidak bermakna keselamatan jutaan rakyat yang lain harus digadaikan.

Campak sahaja muka-muka atau individu yang merasakan atau perasan dirinya terlalu bijak sehingga menggangu keselamatan negara ke pusat tahanan ISA.

Bukan bertujuan untuk menakutkan, tetapi Akta Hasutan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri adalah saluran perundangan yang berbentuk pencegahan. Mencegah dari sesuatu keadaan menjadi buruk.

Jika digunakan mengikut keperluan dan adil, maka undang-undang seperti ISA sangat berguna sebenarnya.

Justeru, bila ada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan yang tidak faham bahasa dan menganjurkan perkara-perkara yang menganggu gugat keselamatan negara, apa lagi, gunalah ISA.

Gunakan tanpa was-was.

Saturday, August 9, 2008

Jangan Hina Ajaran Islam

Sikap biadap sesetengah pihak dalam isu forum memeluk Islam anjuran Majlis Peguam memang agak nyata.

Kalau dibaca komen-komen dalam blog pro pembangkang seperti milik Lim Kit Siang umpamanya, bertalu-talu hentaman ke atas agama Islam dibuat.

Pemberi komen ini semua membelasah agama Islam pula dengan tidak semena-mena.Terutama selepas forum itu terpaksa dihabiskan awal hari ini.

Isu sebenarnya adalah berkaitan bidang kuasa mahkamah sivil dan syariah di negara ini yang terkandung secara langsung dalam Perlembagaan persekutuan.

Isu-isu berkaitan agama Islam sememangnya jatuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah dan bukannya sivil.

Jadi, yang menjadi isu sekarang ini adalah yang bukan Islam tidak mahu terikat dengan sebarang hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Syariah.

Mereka juga mahu perkara seperti jika salah satu pasangan memeluk Islam, maka anak-anak mereka perlu kekal dalam agama asal dan tidak dibawa ke dalam agama Islam.

Apa sahaja pertikaian mereka mahu diselesaikan di mahkamah sivil kerana beranggapan mahkamah Syariah tidak akan berlaku adil ke atas diri mereka.

Intipati rasa tidak puas hati itu adalah berkaitan dengan Perlembagaan yang menjelaskan kedudukan dan kekuasaan Islam di negara ini.

Bukannya ada berkaitan dengan ajaran Islam.

Justeru, bila pemberi komen ini mula melepaskan geram pada agama Islam itu sendiri, maka itu tindakan yang salah.

Jangan cuba gambarkan ajaran Islam itu sebagai buruk dan tidak bertamadun.

Ajaran Islam sudah jelas dan nyata. Tiada sesiapa yang dipaksa memasuki agama itu.

Tetapi apa yang nyata, jika anda sudah memutuskan untuk memeluknya, maka anda tidak boleh meninggalkannya.

Justeru, fikir secara mendalam dan hayati ajarannya sebelum anda memutuskan untuk menjadi seorang Muslim.

Kalau hendak menjawab, banyak yang boleh kita pertikaikan mengenai agama lain juga, tetapi tidak ada faedah untuk kita berbalah pasal agama.

Cuma satu peringatan, halakan rasa tidak puas hati anda pada perkara yang berkaitan Perlembagaan, bukannya ajaran Islam itu sendiri.

Ajaran Islam cukup sempurna, tidak ada apa yang salah padanya. Jangan menguji Orang Islam secara keterlaluan.....

Wednesday, August 6, 2008

Kasih ibu bawa ke syurga

Setiap dari kita yang menjadi ibu bapa pasti faham apakah itu kasih kepada anak.

Gelak tawa dan tanggisan anak adalah sesuatu yang akan kita rindu setiap masa walaupun berjauhan hanya untuk sementara waktu sahaja.

Kasih ibu bawa ke syurga, kasih bapa berganti nyawa.

Justeru, apabila Salwanis Maaz datang bertemu saya, saya amat tersentuh hati dengan apa yang menimpanya.

Saya tidak faham mengapa suaminya yang juga bapa kepada anaknya itu sanggup membawa lari anak mereka yang berusia tiga bulan ke negara asing.

Sekuat mana bapanya itu menyayangi anaknya, apakah dia lupa isterinya yang juga ibu kanak-kanak itu turut merasakan perasaan yang sama.

Adakah ini satu perbuatan yang adil.

Dapatkan kita bayangkan perasaan wanita ini...bukan sukar, kalau kita ibu atau bapa, bayangkan anak kita dilarikan.....mungkin kejam bunyinya tetapi itu sahaja cara untuk menyelami perasaan wanita ini.

Justeru, Sekretariat berazam untuk membantu sebaik mungkin agar ibu ini tidak ketandusan jiwa merindui anaknya itu.

Kempen secara berhemah

Kempen pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh bermula 16 Ogos ini perlu dijalankan secara berhemah kerana ia bakal menarik perhatian masyarakat antarabangsa.

Seluruh dunia akan memberi tumpuan kepada pilihan raya kecil tersebut untuk menilai sejauh mana sistem demokrasi negara dijalankan dalam suasana yang harmoni.

Kita tidak mahu dunia luar melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang bermasalah dan berada dalam keadaan kucar-kacir kerana ia akan memberi persepsi buruk kepada para pelancong dan pelabur sehingga mereka takut untuk datang ke sini.

Segala aktiviti yang dijalankan sepanjang kempen pilihan raya perlu mengikut undang-undang dan garis panduan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Saya berharap semua pihak yang terlibat dalam pilihan raya kecil ini akan menghormati undang-undang dan norma masyarakat di negara ini dan menghindari daripada berlakunya sebarang pergaduhan.

Saya juga yakin Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak akan memilih calon yang terbaik dalam kalangan anak tempatan untuk bertanding menentang Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil tersebut.

Malah, Perdana Menteri telah pun menetapkan satu kriteria utama bakal calon ialah seorang yang sanggup berkhidmat kepada rakyat.

Saya yakin memang itu yang akan dilakukan calon terbabit kelak.

Diharap calon yang dipilih dapat membantu BN merampas balik parlimen tersebut meskipun persaingan di pilihan raya kecil itu dijangka sengit.

Tuesday, August 5, 2008

Ramai yang mudah lupa.....

UCAPAN PRESIDEN MIC merangkap MENTERI KERJAYA RAYA, POS DAN TELEKOM, TUN V.T. SAMBANTHAN DI DEWAN RAKYAT PADA 1 JUN 1965.

” Jika kita lihat di serata negara Asia dan asia Timur, kita akan mendapati kaum India tidak akan diterima di Ceylon dan juga tidak diterima di Burma. Dan lihat saudara kita kaum Cina, mereka tidak diterima di Thailand, Vietnam, Kemboja dan di negara-negara lain.“Di Burma, seperti yang kita semua sedia maklum, kaum India telah diusir keluar, di Ceylon mereka tidak diberikan taraf warganegara seperti juga di Burma. saya tahu dan anda juga tahu.

Dan dalam pada itu apa yang sedang berlaku di Malaya?” Di sini kita mendapati pemimpin Melayu berkata, “Kita akan menerima mereka sebagai saudara, kita akan berikan mereka sepenuh peluang untuk meneruskan kehidupan di negara ini, kita akan beri mereka peluang untuk menjadi warganegara.”” Dan seterusnya pada tahun 1957, dengan tidak mengambil kira kebolehan berbahasa (Melayu) ribuan orang India, Cina dan Ceylon menjadi warganegara.

” Seperti yang saya nyatakan, saya amat bernasib baik kerana dilahirkan di negara ini. Di manakah anda boleh berjumpa bangsa yang lebih prihatin, bersopan-santun dan tertib selain dari Bangsa Melayu. Di manakah anda boleh mendapat layanan politik yang baik untuk kaum pendatang? Di manakah dalam sejarah dunia?

“Saya bertanya kepada anda. Ini adalah fakta. Siapakah anda untuk menjaga keselamatan kami? Saya adalah kalangan 10 peratus kaum minoriti di sini. Tetapi saya amat gembira di sini.”



Presiden MCA, Tun Tan Siew Sin, dilaporkan dalam akhbar tempatan bertajuk “Tun Tan Answers Critics on special Previleges” dalam pada 30 april 1969, berkata:


“Orang Melayu menerusi UMNO bermurah hati melonggarkan syarat-syarat dalam undang-undang negara ini sehinggakan dalam masa 12 bulan selepas kemerdekaan, 90 peratus penduduk bukan Melayu telah menjadi warganegara.

“Ini berbeza dengan keadaan sebelum merdeka di mana 90 peratus daripada mereka masih tidak diiktiraf sebagai rakyat Tanah Melayu walaupun hampir 100 tahun hidup di bawah pemerintahan penjajah.

“Sebagai membalas kemurahan hati orang Melayu, MCA dan MIC bersetuju meneruskan dasar memelihara dan menghormati kedudukan istimewa orang Melayu dan dalam masa yang sama mempertahankan kepentingan-kepentingan sah kaum lain.”

(sedutan dari blog Dr. Khir)

Dtk Azeez:

Dan sekarang kita lihat Majlis Peguam berkali-kali melakukan tindakan yang boleh disifatkan sebagai menyakitkan hati Orang Melayu dan Islam di negara ini.

Ingin saya bertanya, mengapa mahu mengusik hal agama Islam yang begitu sensitif terhadap penganutnya? Apakah perasaan anda jika ada pihak mula mempersoalkan mengenai agama anda?

Jangan dipersoal apa yang sudah menjadi amalan yang diterima ramai di negara ini. Bermain dengan status quo akan hanya membahayakan diri sebenarnya.


Petikan Utusan Malaysia 6 Ogos

Majlis Peguam jangan ‘main api’

Oleh HASHNAN ABDULLAH

PUTRAJAYA 5 Ogos – Majlis Peguam diberi amaran supaya tidak ‘bermain api’ dengan menganjurkan forum bertajuk Memeluk Islam pada hujung minggu ini yang disifatkan amat sensitif kepada umat Islam negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar menegaskan, forum yang dilaporkan akan turut menyentuh Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan itu boleh menyebabkan wujud salah faham di kalangan umat Islam sendiri.

Beliau berkata, apa jua isu yang menyentuh Islam adalah perkara yang cukup sensitif kepada umat Islam.

Monday, August 4, 2008

Semoga politik wang dalam UMNO berakhir

Politik wang umpama barah yang telah melarat dalam UMNO kini.

Pelbagai tindakan telah diambil, namun ia tidak memperlihatkan tanda pengakhiran.

Diharap langkah terbaru iaitu tindakan ibu pejabat UMNO menubuhkan satu sekretariat untuk memantau mesyuarat cawangan dan bahagian di seluruh negara bagi memastikan tidak berlaku gejala politik wang pada pemilihan kali ini akan membuah hasil.

Presiden UMNO Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, sekretariat yang mempunyai kakitangan mencukupi bertanggungjawab memantau perjalanan mesyuarat berkenaan supaya ia mematuhi segala etika parti.

``Langkah ini selaras dengan keputusan Jawatankuasa Pengurusan parti supaya perjalanan mesyuarat cawangan dan bahagian, kempen dan semua yang berlaku diawasi oleh ibu pejabat UMNO,'' kata beliau.

Disebalik semua itu, kehendak untuk menamatkan politik wang yang menghantui parti keramat kita sebenarnya banyak terletak di tangan ahli.

Terpulang pada ahli mahu melihat parti keramat Melayu ini hidup atau mati hanya kerana perasaan tamak kita.

Kuasa terletak di tangan ahli sebenarnya.

Keinginan ahli yang akan menentukan sama ada kanser ini boleh dimatikan atau tidak.

Saturday, August 2, 2008

Anwar dan Liwat



Usaha Anwar untuk menolak kemungkinan berlakunya liwat nampaknya tidak menjadi.
Laporan perubatan yang kononnya diperoleh daripada Pusrawi nampaknya telah memerangkap beliau kembali.

Lihat ulasan seorang doktor dalam sebuah laman blog yang popular :





Apakah rumusan yang dikeluarkan oleh laporan perubatan PUSRAWI?

Mana-mana nota pesakit ataupun laporan perubatan jika kita masih mahu menganggap apa yang dikeluarkan RPK ini sebagai sebuah laporan perubatan, ia mestilah mempunyai rumusan ataupun konklusi.

Di dalam nota pesakit yang dikeluarkan oleh Pusrawi ini rumusannyaterletak di bahagian terakhir iaitu di ruang DIAGNOSIS.

Apa yang dimaksudkan oleh DIAGNOSIS?

Diagnosis merupakan apa yang difikirkan oleh doktor sebagai kebarangkalian yang paling layak untuk seseorang yang mendapatkan rawatan di sesebuah hospital atau klinik.
contohnya:

Seorang pesakit ke klinik dengan muntah-muntah dan cirit-birit, setelah di periksa dan dilakukan penyiasatan yang sepatutnya, Doktor mungkin akan mencapai konklusi, dan menulis di nota pesakitnya:
Diagnosis: Gastroenteritis

Begitu jugalah dengan doktor yang merawat dan memeriksa Saiful di PUSRAWI , beliau juga sudah tentu akan mencapai sesuatu konklusi setelah merawat dan memetiksa pesakitnya.

Mari kita lihat apa konklusi beliau di dalam nota pesakitnya mengenai Saiful:

Dalam laporan beliau di nota pesakit beliau setelah memeriksa Saiful, tertera : DIAGNOSIS: TO RULE OUT ASSAULT-SODOMY, advised to go to hospital.

Apa yang dimaksudkan TO RULE OUT ASSAULT-SODOMY?

TO RULE OUT di dalam bidang perubatan bermaksud: Kemungkinan berlaku tetapi perlu disahkan...


Bermakna konklusi doktor tersebut di dalam nota pesakitnya bermaksud:

KEMUNGKINAN SERANGAN/GANGUAN SEKSUAL-SODOMI, DINASIHATKAN ke HOSPITAL untuk PEMERIKSAAN dan RAWATAN LANJUT.

Disini tidak harus saya tekankan, tiada langsung di dalam KONKLUSI beliau yang mengatakan pada bila-bila masa, tiada SODOMI ke atas SAIFUL.

Pertanyaan saya , dimana RPK mendapat konklusi tersebut, sedangkan doktor tersebut tidak langsung membuat rumusan sedemikian rupa seperti yang dinayatakan oleh RPK?

Adakah RPK ambil sekerat-sekarat berdasarkan kepada keputusan pemeriksaan fizikal terhadap Saiful pada muka surat satu nota pesakit tersebut?

Mengapa RPK langsung tidak menyentuh KONKLUSI doktor tersebut di muka surat 2 nota pesakit tersebut.

Kerja ambil sesuatu sekerat-sekerat ini adalah kerja orang orang yang mahu mencetuskan kekeliruan kepada masyarakat.

Disini dahulu penerangan saya mengenai laporan perubatan Saiful....selebihnya jika ada isu isu
berbangkit akan saya terangkan di dalam komentar-komentar seterusnya.

wassalam.

(Dipetik dari MYKMU NET---- RPK : Raja Petra Kamaruddin)

Selepas membaca ulasan di atas, nampaknya apa yang berlaku selepas itu memang masuk akal.

Harus diingat, laporan pertama melibatkan dakwaan liwat Anwar Ibrahim sebenarnya dibuat Saiful di pondok polis Hospital Kuala Lumpur pukul 5.45 petang, 28 Jun lalu.

Kemudian baru laporan itu dirujuk ke Balai Polis Travers.

Mengikut cerita dari beberapa sumber, doktor yang merawat Saiful di HKL telah menasihatkannya untuk membuat laporan polis.


Kalau ini konspirasi kerajaan tentunya Saiful terus buat laporan di mana-mana
balai besar atau utama.

Maknanya, Saiful telah ke Pusrawi, doktor di situ menasihatkannya ke hospital kerajaan pula. Saiful pun pergi ke HKL. Saiful ke HKL empat jam selepas ke Pusrawi, pada hari yang sama.


Doktor yang melakukan pemeriksaan ke atas Saiful kemudian menasihat dia membuat laporan polis.

Semua ini memang masuk akal. Kalau benda ini konspirasi kerajaan, mengapa Saiful perlu pergi ke hospital swasta untuk mengesahkan apa yang tidak wujud. Sudah tentu dia perlu pergi ke HKL terus dan laporan perubatan pastinya menyabitkan dia diliwat.

Buat apa buang masa ke hospital swasta?

Dah tu sekarang penyokong Anwar nak kata apa pulak...laporan Pusrawi itu pulak sebenarnya palsu?

Kronologi mudah kejadian: Saiful ke Pusrawi --- Kemudian ke HKL -- Buat laporan di pondok polis HKL -- Laporan dirujuk ke balai polis Travers -- Kes kemudian rujuk ke IPD Brickfields.

Friday, August 1, 2008

Senario semasa

(Sebahagian Petikan dari mykmu.net)

Senario Semasa

1. Kertas Siasatan kes liwat Anwar Ibrahim selesai.

2. Wan Azizah Letak Jawatan MP Permatang Pauh, Anwar Umum akan bertanding.

3. Pas tolak kerjsama dengan UMNO.Apakah tujuan Wan Azizah letak jawatan dan Anwar umum akan bertanding di Permatang Pauh sebaik sahaja Syed Hamid sahkan kertas siasatan kes liwat Anwar telah dihantar kepada AG?Anwar sekali lagi cuba meraih simpati dari laluan politik mengelakkan perbicaraan kes liwat beliau?