Friday, October 10, 2008

Ku Li Tinggalkan UMNO?



Khabar angin tersebar luas kononnya Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah akan meninggalkan UMNO jika beliau gagal mendapat pencalonan atau memenangi jawatan Presiden UMNO.

Sungguh memeranjatkan. Adakah ini benar? Takkan hanya kerana gagal dalam cita-cita seumur hidup beliau sanggup bertindak demikian.

Namun, laporan berita Bernama petang ini melaporkan bahawa Ku Li memberitahu bahawa perkara itu adalah tidak benar.


TENGKU RAZALEIGH TEGASKAN TIDAK AKAN TINGGALKAN UMNO
KOTA BAHARU, 10 Okt (Bernama) — Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah hari ini menegaskan beliau tidak akan meninggalkan Umno sekiranya tidak terpilih sebagai presiden parti terbesar Melayu itu pada pemilihan parti Mac depan.

Katanya apa pun keputusan yang dibuat anggota parti dalam pemilihan nanti, beliau akan menerimanya dengan baik dan tidak sesekali akan bertindak keluar Umno yang telah dianggotainya sejak 47 tahun yang lalu.

"Saya ahli seumur hidup Umno...saya tak akan tinggalkan Umno. Saya tawarkan diri sebagai calon Presiden Umno kerana saya lihat tidak ada yang berani ke depan.

"... saya rasa terpanggil untuk membantu parti supaya dapat tarik balik keyakinan Melayu pada parti. Saya bimbang kalau kita tak betulkan keadaan dan pulihkan keyakinan, dalam pilihan raya umum nanti, Umno akan ditolak," katanya pada sidang akhbar di kediamannya di sini.

Katanya penjelasan itu diharap dapat merungkai khabar angin yang didakwanya disebarkan pembangkang kononnya beliau akan meninggalkan Umno dan bergabung dengan Pakatan Rakyat bagi membentuk kerajaan campuran.

Tidak menafikan beliau mempunyai hubungan baik dengan pembangkang, Tengku Razaleigh bagaimanapun menegaskan tidak ada sebarang perbincangan berlangsung di antara beliau dengan pembangkang berhubung pembentukan kerajaan campuran di peringkat pusat yang didakwa melibatkan beliau dengan PR.

"Kalau dengar dia orang cakap, gilalah kita semua ni," katanya.

Jelasnya, pendiriannya tetap tidak berganjak untuk bertanding jawatan Presiden Umno walaupun perkembangan terbaru politik menyaksikan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memutuskan tidak akan bertanding jawatan presiden pada pemilihan parti Mac depan.

No comments: