Jika Proton bukan kereta nasional dan sekarang bukan zaman harga minyak meningkat tinggi, mungkin tindakan kerajaan Terengganu membeli 14 buah Mercedes E200 Kompressor tidak akan menjadi isu yang terlalu hangat.
Ini kerana, semua tahu bahawa ia sebuah negeri yang berkemampuan. Hakikat itu tidak boleh dinafikan sama sekali. Menggunakan kenderaan seperti Mercedes hanya menepati statusnya sebagai negeri kaya dengan hasil minyak.
Namun, sayang sekali kerajaan negeri mengambil pendirian untuk mengubah kereta mereka pada masa harga minyak meningkat begitu tinggi dan kerajaan pusat meminta semua pihak berjimat cermat.
Ada pengajaran di sebalik episod yang berlaku.
Pertama, Proton perlu dipertahankan kerana ia simbolik kepada kemajuan, usaha dan keinginan negara untuk memajukan bidang automotifnya.
Kedua, rakyat tidak mahu melihat apa-apa sahaja tindakan pemimpin mereka sebagai bersifat boros dan tidak sensitif terutama di kala harga minyak meningkat.
Saya yakin, kerajaan negeri Terengganu tidak akan mengambil langkah menukar kereta rasmi para exconya jika mengetahui akan wujud sebegitu banyak tentangan.
Namun yang paling penting pada hemat saya ialah Proton sendiri perlu meninjau dan membuat pembetulan kerana aduan berhubung kualiti Proton Perdana V6 Executive terutama gearbox bukan hanya dari kerajaan negeri Terengganu.
Jika dilihat pada bahagian forum atau sms aduan dalam akhbar, orang awam pun ada yang mengadukan perkara yang sama.
Justeru, silap pada Proton pun mungkin ada juga.
Monday, July 28, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment