Thursday, July 24, 2008

Kediaman Tinggi Perlu Lebih Selamat

SEKRETARIAT Pembelaan Masyarakat Pemuda UMNO bersimpati dan mengucapkan takziah kepada ahli keluarga dan para waris Allahyarham Nik Mohd. Danial Ashraf Nik Zainal, 4 yang meninggal dunia akibat terjatuh dari Tingkat 13 Pangsapuri Fasa 11, Presint 9, Putrajaya, 20 Julai lalu.

Sekretariat berharap keluarga Allahyarham dapat bertenang dengan apa yang terjadi.
Seperkara yang ingin saya tekankan di sini ialah kejadian yang menimpa Allahyarham bukan yang pertama dilaporkan di negara ini malah semakin kerap.

Saya bimbang jika tidak ada tindakan segera atau proaktif diambil, mungkin kejadian seperti itu menjadi lebih kerap lagi pada masa hadapan.

Kita semua tahu jumlah kediaman tinggi akan bertambah di seluruh negara terutama di bandar-bandar utama berikutan peningkatan nilai tanah menjadikan kediaman teres menjadi terlalu mahal untuk dimiliki.

Di masa hadapan, lebih banyak kediaman tinggi seperti pangsapuri dan kondominium akan tumbuh di merata tempat.

Adalah dengan ini, Sekretariat mahukan agar Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan tampil segera dengan garis panduan yang lebih jelas dan ketat berkaitan keselamatan kediaman tinggi di negara ini.

Undang-undang sedia ada nampaknya sudah semakin tidak releven. Peraturan-peraturan pembinaan baru harus diperkenalkan bagi mengelakkan kejadian kanak-kanak kecil kehilangan nyawa akibat terjatuh banguna tinggi dari berulang.

Sekretariat tidak mahu kediaman tinggi di negara ini menjadi perangkap maut untuk kanak-kanak dan pihak kementerian harus berusaha mengatasi perkara ini.

Langkah awal yang boleh dibuat adalah mengadakan pertemuan dan mendapatkan pandangan pemaju kediaman tinggi di negara ini akan kaedah-kaedah yang boleh diperkenalkan bagi mengelakkan kejadian kanak-kanak maut akibat terjatuh dari tempat tinggi dari berlaku.

Apa sahaja maklum balas positif hendaklah cuba diusahakan untuk diperkenalkan dalam standard pembinaan kediaman tinggi di negara ini.

Pandangan pihak polis dan bomba juga perlu diambil kira dalam hal ini.

1 comment:

Anonymous said...

nasiblah ada orang yang perasan pasal bebudak kerap maut jatuh dari tempat tinggi. Tapi kalau setakat di blog ini sahaja idea ini berakhir tak guna jugak. Orang berpengaruh macam datuk ni kenalah bawak hal ini jauh sikit