Wednesday, August 6, 2008

Kempen secara berhemah

Kempen pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh bermula 16 Ogos ini perlu dijalankan secara berhemah kerana ia bakal menarik perhatian masyarakat antarabangsa.

Seluruh dunia akan memberi tumpuan kepada pilihan raya kecil tersebut untuk menilai sejauh mana sistem demokrasi negara dijalankan dalam suasana yang harmoni.

Kita tidak mahu dunia luar melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang bermasalah dan berada dalam keadaan kucar-kacir kerana ia akan memberi persepsi buruk kepada para pelancong dan pelabur sehingga mereka takut untuk datang ke sini.

Segala aktiviti yang dijalankan sepanjang kempen pilihan raya perlu mengikut undang-undang dan garis panduan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Saya berharap semua pihak yang terlibat dalam pilihan raya kecil ini akan menghormati undang-undang dan norma masyarakat di negara ini dan menghindari daripada berlakunya sebarang pergaduhan.

Saya juga yakin Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak akan memilih calon yang terbaik dalam kalangan anak tempatan untuk bertanding menentang Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil tersebut.

Malah, Perdana Menteri telah pun menetapkan satu kriteria utama bakal calon ialah seorang yang sanggup berkhidmat kepada rakyat.

Saya yakin memang itu yang akan dilakukan calon terbabit kelak.

Diharap calon yang dipilih dapat membantu BN merampas balik parlimen tersebut meskipun persaingan di pilihan raya kecil itu dijangka sengit.

No comments: