Monday, November 17, 2008

Jaguh Di Ranjang Saja Tidak Mencukupi Wahai Soi Lek

Oleh Sharifah Anamarhaen

RAKYAT Malaysia takkan lupa betapa ‘gagahnya’ Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek ‘menggagahi’ seorang wanita di sebuah bilik hotel hingga membuatkan wanita itu menjerit-jerit kenikmatan dalam rakaman yang tersebar luas di internet suatu ketika dulu.

Namun di saat orang mula berkira-kira mengenai detik kematian tokoh itu dalam karier politiknya, siapa sangka beliau yang juga seorang doktor perubatan bertauliah ini mampu bangkit semula dan kemuncaknya terpilih sebagai Timbalan Presiden MCA dalam pemilihan parti itu baru-baru ini.

Dalam erti kata lain, saham Soi Lek tiba-tiba ‘meletup’ hingga membuatkan ‘rumours’ mengatakan yang kemungkinan beliau dilantik semula ke kabinet mula bertiup kencang.

Namun pemilihannya sebagai orang nombor dua MCA nampaknya belum cukup kuat untuk meyakinkan presiden yang juga bosnya yang baru, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Ini terbukti apabila Tee Keat dilihat mengenepikan Soi Lek dalam pemilihan jawatan penting dalam MCA baru-baru ini dan hanya ‘menganugerahkan’ padanya jawatan Biro Pemantauan Dasar Kerajaan.

Walaupun Tee Keat menegaskan yang jawatan itu tidak kurang juga pentingnya, namun bagi Soi Lek ia tetap satu usaha untuk menidakkan kemampuannya menyumbang secara lebih pro-aktif dalam MCA.

Tidak cukup dengan itu, dalam satu temuramah, Soi Lek turut memberi amaran kepada Tee Keat supaya jangan berbohong kepada orang ramai kononnya Perdana Menteri tidak mahukannya sebagai menteri jika bosnya itu sendiri tidak menyerahkan namanya sebagai calon anggota kabinet

Bagi penulis, Soi Lek mempunya alasan untuk marah dan berkecil hati tetapi beliau juga perlu mengambil kira ‘dilema’ yang dihadapi ketuanya itu.

Tee Keat ternyata sangat mengambil berat mengenai moral para pemimpin yang bekerja dengannya.

Walaupun Soi Lek acapkali menegaskan yang isu ‘moral’ bukanlah penentu kredibiliti seseorang pemimpin namun bagi Tee Keat ia penting supaya MCA tidak dilihat bertolak ansur dengan pemimpin dan ahlinya yang mempunyai sifat dan pekerti yang memalukan.

Semua orang tahu yang Tee Keat sendiri pernah menggelarkan Soi Lek sebagai ‘penulis blog yang tercemar’.

Lebih daripada itu, Tee Keat sudah tentu tidak mahu pembangkang menggunakan isu skandal seks pemimpin itu sebagai ‘senjata’ untuk menghentam kerajaan dan MCA sekiranya Soi Lek dilantik semula ke dalam kabinet.

Bukan saja Tee Keat, Perdana Menteri sendiri sudah tentu terpaksa memikirkan ‘beribu kali’ jika hendak melantik Soi Lek dalam senarai menterinya kerana takut dituduh ‘menghalalkan’ semua kesalahan yang dilakukan bekas Menteri Kesihatan itu.

Walaupun ini cuma andaian, tetapi realitinya tidak boleh ditolak sama sekali, apatah lagi bila kerajaan sekarang berada dalam keadaan yang tidak selesa dek kemenangan besar pembangkang dalam pilihanraya lalu

Sudah tentu kerajaan tak mampu lagi untuk mempunyai pemimpin seperti Soi Lek kerana jika salah percaturan, pembangkang akan menjadikan keputusan itu sebagai ‘bola tanggung’ untuk mereka.

Malangnya, Soi Lek tidak pernah memikirkan semua ini, apa yang beliau tahu hanya marah dan kecil hati kononnya beliau sengaja diketepikan oleh presiden parti tersebut.

Untuk menguatkan lagi hujahnya, Soi Lek berkata: “ Soalnya bukan sama ada saya gembira atau tidak, tapi sama ada anggota perwakilan gembira atau tidak,".

Menggunakan alasan perwakilan adalah mudah tetapi semua orang tahu ia cuma satu kenyataan berbentuk retorik.

Bagi penulis masalah ini mudah saja, jika benar-benar Soi Lek hendak berbakti pada partinya, tak perlu timbul soal dilantik sebagai menteri kabinet atau tidak, tak perlu timbul soal diberi jawatan penting dalam parti atau tidak.

Tunjang pada perjuangan adalah keikhlasan. Sekurang-kurangnya beliau patut bersyukur kerana di sebalik perbuatan tak bermoralnya itu, perwakilan masih dapat memaafkan beliau dan mereka sanggup lagi memberi kepercayaan padanya untuk menjadi orang nombor dua dalam parti.

Soi Lek kena ingat, ‘kejaguhannya di ranjang’, sehebat jawatan Menteri Kesihatan yang disandang ketika itu, belum cukup untuk menjadikannya jaguh dalam karier politik yang diceburinya.

Apa salahnya Soi Lek merenung sejenak pepatah Inggeris yang menyatakan ‘sometimes less is more’.

Dalam hal ini Soi Lek mungkin tidak diberikan jawatan penting dalam kerajaan atau pun MCA, namun ia mungkin memberi kelebihannya untuk lebih fokus dalam perjuangan parti kebanggaan masyarakat Cina tersebut.

Ini Soi Lek perlu tahu.

No comments: