Monday, June 23, 2008

Selamat Ulangtahun Ke 3 Putera UMNO

Salam sejahtera,

Pada 20 Jun (Jumaat) yang lalu, genaplah usia tiga tahun Putera UMNO selepas ia ditubuhkan secara rasminya pada 2005. Ia adalah hasil ilham Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang telah menzahirkan idea itu pada 22 Februari tahun yang sama, dalam mesyuarat Exco Pemuda UMNO.
Penubuhan Putera UMNO adalah untuk menggantikan Briged Putera supaya peranan pelapis dalam Pemuda UMNO dapat diperluaskan lagi dengan fokus khalayak adalah kepada generasi muda berusia antara 18 hingga 25 tahun.
Sebaik sahaja Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang bermesyuarat pada 25 Mac 2005 meluluskan penubuhan Putera UMNO, saya dan semua barisan kepimpinan Pemuda UMNO Malaysia bertungkus lumus menjayakan amanah MT itu sehinggalah terhimpunnya 26,000 ahli
Putera UMNO di Stadium Hang Tuah Melaka pada 20 Jun 2005.
Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melancarkan secara rasminya Putera UMNO sebagai satu lagi wadah perjuangan pewaris bangsa Melayu melalui landasan parti keramat orang Melayu iaitu UMNO.
Antara amanat penting Pak Lah pada pelancaran itu yang masih terpahat di sanubari saya hingga kini adalah:
"Apabila saudara membuat keputusan menyertai UMNO sebagai tenaga tambahan yang akan meneruskan perjuangan, bererti saudara telah memulakan satu fasa dalam kehidupan saudara. Saudara akan jadi pejuang bangsa dalam UMNO.
"Peranan saudara adalah sebagai pejuang muda yang akan mewarisi perjuangan bangsa untuk masa akan datang," tegas Pak Lah dengan nada penuh semangat sambil disambut tepukan gemuruh pada hadirin.
Berbekalkan kalimah keramat itulah, saya terus menanam tekad dan semangat mengharungi pelbagai rintangan untuk memperjuangkan anak muda Melayu melalui Putera UMNO. Demikian dapat saya menyingkap kembali sedikit sejarah kelahiran Putera UMNO. Kini, tiga tahun sudah berlalu.
Namun, Negeri Melaka yang menjadi tapak bermulanya sejarah ketuanan dan perjuangan Melayu di kurun ke 15 dahulu, pasti akan turut memahat sejarah tempat lahirnya pewaris Melayu iaitu Putera UMNO, untuk dijulang oleh generasi Malaysia abad ke 21 dan
seterusnya.
Biar apa pun cubaan, propaganda atau muslihat untuk mengancam ketuanan Melayu yang diperjuangkan oleh UMNO, namun pastinya sehingga ke anak cucu sekalipun, sejarah tidak akan dapat memadamkan fakta bahawa kemerdekaan negara dan kesenangan hidup rakyat Malaysia hari ini adalah hasil perjuangan tokoh UMNO dan pelapis-pelapisnya.
Selamat Harijadi Putera UMNO

GEN-CGT

-Azeez

No comments: