Friday, October 31, 2008

Anwar hilang...



(petikan: http://malaysia-instinct.com/english/)


Berlalu 16 September: Runtuhnya Mitos Keunggulan Politik Anwar


Lama sudah berakhir tarikh 16 September yang dicanang selama beberapa bulan oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baru di negara ini.

Berlalu sepi tanpa sebarang perubahan kerajaan dan kini, Anwar sendiri seperti sudah tidak wujud lagi.

Tidak ada lagi berita-berita mengenai beliau di dada akhbar atau mana-mana media lain kecuali yang diterbitkan oleh pembangkang.

Malah, di kalangan blogers pun seumpama tidak begitu ghairah lagi untuk mengulas apa-apa isu berkaitan beliau.

Ketika Barisan Nasional (BN) mencatatkan sejarah menerima mandat terkecil (berlawan dengan mandat terbesar sebelum ini) dalam Pilihanra Raya Umum ke-12, maka wujud cakap-cakap bahawa kehandalan Anwar adalah antara sebab kepada kejayaan itu.

‘Harapan Baru Untuk Malaysia’ dilihat sebagai aspirasi agung yang secara tidak disedari telah bersemi dalam jiwa rakyat, kononnyalah.

Dan kononnya juga apa yang dibawa Anwar itu begitu meyakinkan sehingga ramai yang mahukan Anwar menjadi Perdana Menteri yang baru.

Kejayaan Pakatan Rakyat (PR) diikuti pula dengan kenyataan Anwar dengan penuh yakin dan angkuh bahawa beliau akan membentuk kerajaan baru pada 16 September begitu mendebarkan banyak pihak.

Maka, bermulalah episod nafi menafi lompat parti terutama di kalangan ahli politik Sabah sehingga ada yang menandatangani akujanji untuk tidak berbuat demikian.

Debaran begitu dirasakan ketika itu dan Anwar umpama di puncak persada politik negara.

"Hebat Anwar ni" itulah antara ungkapan yang disebutkan banyak pihak, peminat dan lawan politik beliau.

Tetapi, kemudian tibalah tarikh yang beliau janjikan itu... tiada apa yang berlaku.

Muncul pula tarikh baru...pun tidak ada apa-apa yang berlaku.

Alasan demi alasan diberikan Anwar untuk mententeramkan keadaan dan namanya sebagai ahli politik yang dilihat sangat bijak dan licik.

Tiada satu pun yang benar-benar kukuh dan dapat diterima akal.

Akhirnya pelamin angan Anwar untuk menjadi Perdana Menteri nyata musnah.

Apabila pelan peralihan kuasa dalam UMNO dipercepatkan dan bahagian-bahagian UMNO secara berterusan mencalonkan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk jawatan Presiden UMNO, maka angin perubahan dalam parti itu mula bertiup dengan begitu lembut dan nyaman sekali.

Kekuatan UMNO mula kembali dan dapat dirasakan dengan begitu ketara sekali.

Impak dari perubahan yang dipercepatkan itu adalah UMNO kembali releven dan ini sekali gus memusnahkan terus saki baki peluang Anwar untuk menjadi Perdana Menteri pintu belakang, yakni pintu yang dikatakan memang sinonim dengan beliau.

Akhir sekali, terbukti benarlah kata-kata bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa rakyat bukan memilih pembangkang pada pilihan raya umum yang lalu, tetapi mereka marah dengan BN.

Cuma apa yang berlaku dalam pilihan raya umum itu memang tidak pernah diduga dan Anwar Ibrahim serta penyokongnya menangguk di air keruh dengan mewujudkan andaian ia berlaku disebabkan kehebatan Anwar.

Kini terbukti, ia bukan disebabkan Anwar.

Ia disebabkan oleh perasaan marah rakyat kepada kepimpinan tertinggi UMNO dan BN yang ada sekarang....tidak lain dan tidak bukan.

Disebabkan itu, mitos keunggulan politik Anwar runtuh dan ranap selepas 16 September apabila beliau gagal meneruskan lakonan sebagai ahli politik terhebat dan tersohor di negara ini.

Realiti pilihan raya umum Mac lalu sudah nyata. Kejatuhan BN bukan sama sekali disebabkan oleh faktor Anwar.

Justeru...Selamat Tinggal Anwar.

Thursday, October 30, 2008

Di mana pelajar-pelajar ini?

Misteri 7 pelajar hilang di Australia

Oleh ARSHAD KHAN

KUALA LUMPUR 30 Okt. – Sekretariat Pembelaan Masyarakat Pergerakan Pemuda UMNO bimbang serta bingung apabila menerima aduan mengenai kehilangan tujuh pelajar Malaysia termasuk tiga orang dari sebuah universiti yang sama di Australia Barat dalam tempoh empat bulan lalu.

(Petikan Utusan Malaysia)


Sememangnya satu misteri yang amat sangat bagi diri saya apabila sehingga 7 pelajar Malaysia menghilangkan diri dalam masa 4 bulan di Australia.

Perkara yang saya tahu ialah kebanyakkan mereka adalah pelajar perempuan.

Di mana mereka ini sekarang? Adakah mereka dijerat cinta oleh lelaki-lekai kulit putih dan diminta menukar agama?

Kemungkinan seumpama itu tidak boleh saya ketepikan sama sekali.

Kita semua tahu memang ada sindiket di dunia yang menjerat remaja Islam terutama yang pandai dalam pelajaran agar terpesong kepada agama lain.

Umpan yang digunakan adalah wanita yang cantik dan lelaki yang kacak.
Dalam erti kata lain, jeratnya adalah jerat percintaan.

Wanita cantik mengoda pelajar lelaki dan lelaki kacak pula menggoda pelajar wanita. Namun syaratnya ialah perlu menukar agama kepada agama yang tidak perlu saya sebutkan.

Namun, ingin saya jelaskan, tidak semestinya apa yang saya tuliskan ini yang berlaku, ini hanya satu daripada puluhan mungkin ratusan kemungkinan terhadap kehilangan secara misteri pelajar-pelajar ini.

Ke mana mereka... adakah juga kemungkinan mereka telah ditawarkan kerja yang baik sehingga mereka tidak berminat lagi untuk menyambung pelajaran.

Jika ini benar, maka amat sayang sekali jika pelajar-pelajar ini yang rata-rata adalah pelajar cemerlang boleh memilih kerja di negara asing berbanding tempatan.

Saya yakin, mereka ini yang mendapat tajaan biasiswa dari GLC pastinya akan mendapat kerja bergaji lumayan di negara ini apabila pulang kelak.

Di negara mereka menumpang untuk belajar pula sekadar berkerja sebagai tukang cuci semata-mata, adakah ia berbaloi?

Apa pun, misi saya sekarang hanya satu, saya perlu mencari mereka-mereka ini kembali. Masa depan dan harapan banyak keluarga bergantung kepada mereka.

Mencari mereka adalah amanah yang perlu saya pikul.

Saya berdoa Allah SWT akan membantu saya usaha ini. Amin

Kes Bunuh Altantuya

Kes Bunuh Altantuya: Abdul Razak Bebas, Azilah Dan Sirul Azhar Diperintah Bela Diri

SHAH ALAM, 31 Okt (Bernama) -- Penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini daripada tuduhan bersubahat membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Bagaimanapun, dua anggota polis daripada Unit Tindakan Khas, Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, diperintah membela diri terhadap tuduhan itu.

Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin yang membuat keputusan itu berkata beliau mendapati bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Abdul Razak, 48.Mahkamah menetapkan 10 Nov ini untuk Azilah dan Sirul Azhar membela diri.

Azilah dan Sirul Azhar mempunyai tiga pilihan untuk membela diri iaitu memberi keterangan bersumpah, memberi keterangan dalam kandang tertuduh atau berdiam diri.

Kedua-duanya memilih untuk memberi keterangan bersumpah. Azilah dan Sirul Azhar dituduh membunuh Altantuya, 28, di lokasi antara Lot 12843 dan 16735, Mukim Bukit Raja, di sini antara pukul 10 malam 19 Okt dan 1 pagi 20 Okt tahun lepas.

Abdul Razak, pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia, pula dituduh bersubahat dengan mereka di Wilayah Persekutuan antara 9.54 pagi 18 Okt dan 9.45 malam 19 Okt tahun 2006.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mati.Altantuya, ibu kepada dua anak lelaki masing-masing berusia 4 tahun dan 10 tahun, mendapat latihan sebagai guru dan penterjemah dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Rusia di National University of Mongolia.

Mayatnya dilupus dengan cara diletupkan dengan bahan letupan. Cebisan daging dan tulangnya ditemui bertaburan di kawasan Puncak Alam.

Kes sensasi itu mendapat liputan meluas kerana Altantuya dilaporkan datang ke Malaysia untuk mencari Abdul Razak yang didakwa mempunyai hubungan sulit dengannya.

Mahkamah telah mengambil masa selama 151 hari bermula 4 Jun tahun lepas untuk mendengar keterangan daripada 84 saksi pendakwaan sebelum menangguhkan keputusan itu sehingga hari ini selepas kes pendakwaan ditutup pada 23 Jun lepas.

Azilah diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad dan J. Kuldeep Kumar, Sirul diwakili peguam Kamarul Hisham Kamaruddin, Hasnal Redzua Merican and Ahmad Zaidi Zainal manakala Abdul Razak diwakili peguam Wong Kian Kheong.

Pendakwaan pula diwakili Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah, Noorin Badaruddin, Manoj Kurup dan Hanim Rashid.Peguam Karpal Singh, Sangeet Kaur Deo dan Ram Karpal Singh adalah peguam pemerhati bagi keluarga Altantuya.-- BERNAMA

Misteri 7 pelajar

Misteri 7 pelajar hilang di Australia

Oleh ARSHAD KHAN

KUALA LUMPUR 30 Okt. – Sekretariat Pembelaan Masyarakat Pergerakan Pemuda UMNO bimbang serta bingung apabila menerima aduan mengenai kehilangan tujuh pelajar Malaysia termasuk tiga orang dari sebuah universiti yang sama di Australia Barat dalam tempoh empat bulan lalu.

Pengerusinya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, beliau bimbang jika wujud penglibatan mana-mana sindiket termasuk berkaitan keagamaan yang mungkin menyembunyikan pelajar-pelajar itu.

Beliau berkata, siasatan pihaknya setakat ini bagaimanapun belum menemui sebarang persamaan antara kesemua pelajar cemerlang itu melainkan kebanyakan mereka berasal dari Selangor.

Abdul Azeez berkata, bagi mendapatkan gambaran sebenar, pihaknya akan menghantar pasukan ke Australia bersama ibu bapa pelajar terbabit tidak lama lagi bagi menyiasat punca sebenar kes-kes kehilangan itu.

“Di sebuah universiti tersebut sahaja sudah tiga kes dan ada empat lagi kes di beberapa universiti lain.

“Kehilangan ini kita terima sebagai sahih apabila ibu bapa pelajar terbabit tampil membuat aduan kepada pihak sekretariat,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Abdul Azeez menambah, pihaknya mula menerima aduan daripada ibu bapa pelajar-pelajar terbabit sejak permulaan Ramadan lalu.

Katanya, sebahagian kes telah pun dirujuk kepada pihak Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa (Interpol) dan Wisma Putra serta Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Australia.

Beliau berkata, ketika ini kebanyakan maklumat berhubung pelajar-pelajar yang hilang itu diperoleh melalui persatuan pelajar universiti yang terbabit.

“Kita mungkin memerlukan bantuan daripada banyak pihak lain termasuk Kementerian Pengajian Tinggi untuk mengesan semua pelajar yang hilang ini,” katanya.

Dalam pada itu, ibu bapa salah seorang pelajar yang hilang, Norzarifah Kamaruzzaman turut berada pada sidang akhbar yang sama.

Ibunya, Noraini Daud berkata, anaknya, Norzarifah terputus hubungan terus dengannya sejak 6 Oktober lalu.

Dia berkata, sebelum itu anaknya dapat dihubungi melalui telefon atau e-mel tetapi sejak tarikh berkenaan, sudah tiada ada saluran komunikasi untuk mengetahui di mana anaknya berada secara tepat.

Katanya, maklumat terakhir yang ada pada dirinya ialah anaknya itu telah mengikuti seorang lelaki bersama ibunya berpindah ke sebuah kampung kecil dinamakan Rockhampton, kira-kira 20 minit perjalanan menaiki kereta dari bandar Perth.

Tindakan anaknya berpindah dengan lelaki itu katanya, berlaku selepas Norzarifah keluar dari hospital di Perth selepas disyaki menelan hampir 50 biji Panadol.

“Punca anak saya bertindak begitu tidak saya ketahui, maklumat mengenai tindakannya itu kami tahu apabila Norzarifah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada kakaknya pada 17 September lalu.

SMS itu seperti yang terkandung dalam laporan polis pada 23 September ialah:

“Kak, jangan bagi mak nangis, Ipah baru keluar hospital semalam dari hari Sabtu malam, overdose. Jangan bagi tahu mak, Ipah tak tahu nak buat macam mana lagi, Ipah ambil 50 biji Panadol.
“Jangan bagi tahu emak. Aku nak mati kak, jangan bagi tahu mak, tolonglah kak.”

Noraini berkata, anaknya mengikuti pengajian peringkat ijazah dalam bidang geologi dan hanya tinggal empat bulan atau satu semester sebelum pengajiannya berakhir.

“Saya dapat tahu dia sudah tidak menghadiri kuliah sejak dari empat bulan yang lalu iaitu dari Ogos,” katanya.

Dia memberitahu, Norzarifah adalah anak kedua daripada lima beradik dan memulakan pengajian di Australia sejak tahun lalu.

Menurut Noraini, anaknya mendapat keputusan 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan keputusannya di universiti terbabit juga baik sebelum ini.

Wednesday, October 29, 2008

Pelakon Gerak Khas ditangkap khalwat


KUALA LUMPUR 30 Okt. – Seorang pelakon lelaki dalam drama bersiri Gerak Khas yang baru sahaja mendapat cahaya mata ditangkap khalwat di sebuah premis perniagaan Jalan UP 1/2, Ukay Perdana, di sini awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang,Supritendan Amiruddin Jamaluddin berkata, pelakon itu bersama pasangannya seorang pelakon baru wanita ditahan pada pukul 3 pagi oleh Pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Menurutnya, serbuan tersebut dilakukan setelah JAIS mendapat maklumat bahawa kedua mereka berada dalam keadaan meragukan dalam premis tersebut.

“Ketika diperiksa didapati kedua-duanya yang berpakaian lengkap berada dalam premis itu

“Mereka kemudiannya dibawa ke Balai Polis Melawati untuk siasatan lanjut, ” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.



*** Rasanya kita semua tahu siapa pelakon ini......dulu pernah kecoh sekali dia hendak bercerai. Lepas kes FMI di Kuantan

Monday, October 27, 2008

Fadilah Pulang


gambar Bernama dipetik dari Utusan Online

NUSA TENGGARA BARAT (Mataram) 27 Okt. - Noor Fadilah Ahmad, 18, yang dilarikan ke sini oleh pemuda berasal dari Lombok Timur sejak dua bulan lepas akan dibawa pulang ke tanah air, esok.

Jabatan Imigresen Daerah Mataram mengesahkan Noor Fadilah, yang berkahwin dengan Nasrudin Dahrom, 24, dibenar pulang ke Malaysia tanpa dikenakan hukuman penjara kerana memasuki Lombok secara haram sejak 6 September lalu.

Keputusan itu dicapai hasil rundingan hampir dua jam antara Sekretariat Pembelaan Masyarakat Pemuda UMNO dan Jabatan Imigresen Daerah Mataram dengan kerjasama Kedutaan Malaysia di pejabat Imigresen Daerah Mataram di sini tengah hari ini.

Rundingan itu diadakan antara Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim selaku Pengerusi Sekretariat Pembelaan Masyarakat Pemuda UMNO dan Ketua Seksyen Pengawasan dan Tindakan Imigresen Daerah Mataram, M. Adnan.

Turut serta dalam rundingan itu ialah Kaunselor (Konsular, Imigresen dan Sumber Manusia) Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta Mohd. Zahari Hassan dan Setiausaha Sekretariat, Datuk Muhd. Khairun Aseh yang juga seorang peguam.

"Perkara itu berjaya diselesaikan dalam semangat setiakawan Malaysia dan Indonesia," kata Abdul Azeez yang mengetuai misi membawa pulang Noor Fadilah selepas kes itu mendapat perhatian umum sejak 24 September lepas.

Mengikut undang-undang Jabatan Imigresen Indonesia, individu yang masuk secara tidak sah ke negara itu boleh dikenakan hukuman penjara enam tahun atau denda tiga juta rupiah.

"Saya optimis Noor Fadilah akan dipertemukan dengan ibu bapanya di sini esok," kata Abdul Azeez yang mengetuai misi membawa pulang Noor Fadilah.

Turut serta ialah ibu bapa Noor Fadilah, Ahmad Abdul Hamid, 46, dan Masitah Abdullah, 42.

Noor Fadilah yang berasal dari Ladang Sungai Gedung, Bagan Serai, Perak dibawa lari Nasrudin ke Lombok pada September lepas.

Perbuatan itu tanpa keizinan ibu bapa Noor Fadilah yang tidak merestui hubungan cinta pasangan tersebut.

Ahmad ketika ditemui pemberita berkata: "Tak sabar nak jumpa selepas hampir dua bulan berpisah. Saya amat berterima kasih kepada Sekretariat Pembelaan Masyarakat Pemuda UMNO yang amat prihatin. Saya terhutang budi kepada UMNO.''

Sunday, October 26, 2008

Mahukah Hindraf Mohon Maaf di rumah terbuka Deepavali

Esok hari Deepavali...pesta cahaya bagi meraikan kemenangan kebaikkan menentang kejahatan.

Selamat Hari Deepavali kepada rakan-rakan yang beragama Hindu.

Bagaimanapun satu perkara yang bermain di fikiran saya, jika semasa sambutan rumah terbuka hari raya baru-baru ini Hindraf menyerbu sambutan itu kononnya bagi bermaaf-maafan (walaupun hakikatnya mereka telah menunjukan sikap kurang ajar yang melampau)...apakah esok ketika sambutan Deepavali di PWTC juga, kumpulan itu akan berbuat benda yang sama?

Atau sambutan esok amat bermakna untuk mereka dan perlu dijaga kesuciannya?

Apakah ada kemungkinan ada kumpulan lain pula yang datang menyerbu untuk menyampaikan sesuatu memorandum? Apa perasaan ahli-ahli Hindraf ketika itu agaknya?

Pada saya esok adalah hari yang saya nantikan... Sikap dan tembelang Hindraf pasti akan terbongkar .... kalau mereka tidak muncul pun ada yang salah dan kalau muncul pun mereka akan kena...............................

Selamat Hari Deepavali untuk rakan-rakan yang mendokong aspirasi negara ini dengan setulus hati.

Saturday, October 25, 2008

Ke Lombok Isnin ini

Hari Isnin ini (esok) saya akan bersama hampir 10 orang termasuk Encik Ahmad Abdul Hamid dan isteri akan berlepas ke Lombok, Indonesia dalam usaha untuk membawa balik anak gadis mereka, Noor Fadilah Ahmad.

Rasanya ada diantara kita yang tahu mengenai perkara ini ada yang tidak.

Mak bapak gadis ini mendakwa anak dara mereka itu dilarikan seorang lelaki bernama Nasrudin.

Apa hakikat kita tidak tahu tetapi dalam niat menolong, saya akan ke Lombok dalam usaha untuk menunaikan janji saya.

Walaupun agak sibuk dengan pemilihan UMNO tetapi janji adalah janji. Wajib untuk saya penuhi.

Justeru, Isnin ini saya bersama ahli-ahli sekretariat dan peguam akan berlepas menuju ke Lombok.

Kita menjangkakan bantuan daripada pihak polis dan imigresen Indonesia dalam hal ini. Pihak keduataan kita juga akan membantu.

Apa pun, yang saya harapkan nanti ialah kes ini akan membawa kepada penutup yang baik untuk semua.

Kalau Fadialh berniat untuk mengahwini lelaki berkenaan, saya berharap ia akan dibuat dalam keadaan yang baik.

Mungkin ada perkara yang perlu diperhalusi semua pihak. Namun hasilnya diharap hendaklah yang terbaik.

Kepada yang membaca blog saya ini, doakan kami.

Apa pun, saya yakin kita boleh membawa Fadilah pulang, Insya Allah.

Thursday, October 23, 2008

Rais, Shahidan dan tender dalam UMNO


Saya mendapat tahu yang Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Shahidan Kassim menyifatkan cadangan sinis Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim supaya jawatan tertinggi parti dipertandingkan secara tender adalah satu penghinaan kepada Umno.
Kata Shahidan , kenyataan Rais itu memalukan Umno apatah lagi dengan statusnya parti keramat yang mendokong dan memperjuangkan hak orang Melayu. Sebagai tindak balas terhadap kenyataan itu, Shahidan secara sinis mencadangkan pencalonan Rais ditender RM1.
" Kita tahu beliau (Rais) ahli bahasa dan kenyataan sedemikian bukan perkara baru bagi beliau.

" Beliau sebelum ini pernah menggelar kumpulan mat rempit sebagai mat setan.

"Justeru, sebelum beliau ambil tindakan untuk tender Umno, saya cadangkan Rais sendiri ditender dan saya akan mulakan tender beliau dengan RM1. Jika beliau mahu tender parti juga, lebih baik beliau tender Semangat 46 yang beliau sertai dulu," katanya yang saya petik dalam sebuah akhbar baru-baru ini.

Bagi saya mudah, Rais membuat kenyataan sinis itu mungkin setelah beliau 'penat' dengan gejala yang sering melanda tetapi seperti mana Shahidan, saya turut merasakan komen Menteri Luar itu sebagai sesuatu yang terlalu keras dan tidak sepatutnya diluahkan secara terbuka.

Namun untuk menafikan pun tidak boleh juga. Orang ada mata, orang ada telinga, orang ada otak untuk menilai dan menafsir budaya politik wang yang berlaku itu

Apapun saya berharap selepas ini, semua orang baik yang pemimpin mahupun yang dibawah, supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan komen terutama yang menyentuh rumah tangga kita di akhbar-akhbar, bukannya apa, musuh-musuh di luar sana menunggu masa saja untuk meruntuhkan parti keramat yang kita warisi sejak sekian lama ini.

Kita ada forum untuk meluahkan ketidakpuasan hati kita terhadap satu-satu perkara, gunakan forum itu.

Meluahkan ketidakpuasan hati dan perasaan marah dalam media sebenarnya hanya membuka pekung di dada sahaja.

Fikir-fikirkanlah.


Perhimpunan untuk blogers

MAJLIS BLOG DI JAKARTA, INDONESIA, 22 NOVEMBER DAN PENULIS BLOG DARI AMERIKA SYARIKAT, CHINA, AUSTRALIA, HONG KONG, MALAYSIA-SINGAPURA DIJEMPUT Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan, Republik Indonesia.

JAKARTA, 23 Okt/Antara-AsiaNet/—- Kerajaan Indonesia Dan Kedutaan Amerika Syarikat Di Indonesia Menyokong Majlis Blog 2008 Yang Akan Diadakan Di Jakarta Pada 22 Nov, 2008 Dan Kementerian Kebudayaan Dan Pelancongan Indonesia Turut Menyokong Acara Itu Dengan Menjemput Lima Penulis Blog Dari Amerika Syarikat, China, Australia, Hong Kong, Malaysia Dan Singapura. Kedutaan Amerika Syarikat bangga untuk menaja Majlis Blog tahunan kedua itu pada 22 Nov,” Duta Amerika Syarikat ke Indonesia Cameron R Hume berkata pada satu sidang akhbar di Kementerian Komunikasi dan Penerangan Indonesia di sini baru-baru ini. Duta itu berkata, penulisan blog merupakan aktiviti yang menyeronokkan dan negara beliau menyokong kebebasan bersuara. Berucap pada majlis yang sama, Menteri Komunikasi dan Penerangan Indonesia Muhammad Nuh berkata penulisan blog merupakan satu tempat untuk orang ramai melahirkan kreativiti yang akhirnya akan mencipta satu masyarakat berasaskan maklumat dan kemudiannya berasaskan pengetahuan.
“Kerajaan dan kementerian memberikan kebebasan luas kepada penulis blog untuk melahirkan pemikiran beretika dan pintar mereka, perasaan atau pandangan.Kebebasan merupakan salah satu yang wajib untuk pembangunan kreativiti,”kata beliau. Menteri itu berkata bahawa pejabat beliau tidak berniat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap penulis blog kerana aktiviti penulisan blog mereka dianggap sumbangan positif kepada orang ramai. Majlis Blog 2008 itu bermatlamat mengumpul semua penulis blog Indonesia untuk berkongsi maklumat dan memperluaskan rangkaian mereka untuk kerjasama di masa hadapan. Aktiviti itu akan membolehkan penulis blog untuk memberi kesan positif kepada orang ramai. Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan juga menyokong acara itu dengan menjemput lima penulis blog dari Amerika Syarikat, China, Australia, Hong Kong, Malaysia dan Singapura SUMBER: Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan, Republik Indonesia.

UNTUK MAKLUMAT LANJUT HUBUNGI : NAMA : ENCIK SURYA DHARMA PENGARAH PENERANGAN DAN PERHUBUNGAN AWAM KEMENTERIAN KEBUDAYAAN DAN PELANCONGAN, REPUBLIK INDONESIA.TEL : +6221-3838167, +6221-3838131 FAKS : +6221-3849715 EMAIL : surya—d@budpar.go.id, humas@budpar.go.id TARIKH SIARAN : 23 OKTOBER 2008 DISIARKAN OLEH PERHUBUNGAN MEDIA &