Sunday, August 31, 2008

Pengalaman penulis blog setahun jagung...(atau sebulan jagung)

Setelah hampir lebih 2 bulan menulis blog ini, saya perasan satu perkara iaitu blog pro kerajaan memang agak sukar untuk menarik perhatian pembaca di alam maya.

Buat macam mana pun, ada sahaja yang tidak kena.

Namun saya tidak akan berputus asa. Saya lihat sekarang ini umpama satu trend iaitu blog perlu berbentuk membelasah kerajaan baru ia akan terkenal.

Walaupun mungkin blog saya ini tidak akan menjadi popular, tetapi saya yakin akan ada pembacanya juga, mungkin sedikit bilangannya.

Biarlah sedikit, tetapi saya akan tetap meneruskannya. Tidak mengapa.

Ini kerana blog ada kekuatannya yang tersendiri yang sukar untuk disingkap di tempat lain.

Antaranya ialah komen-komen yang terima kerap kali adalah secara langsung dari jiwa pembaca yang meluahkan terus apa yang mereka rasa dalam hati masing-masing.

Saya lihat tidak ada kaedah terbaik atau paling mudah lagi selain medium blog ini untuk mendapatkan maklum balas dari masyarakat.

Saya berjanji, apa jua yang anda komen terutama berkenaan diri saya, akan saya cuba jadikan teladan dan sempadan.

Cuma satu saya pohon, berilah saya peluang untuk menjadi insan dan pemimpin yang lebih baik.

Andai ada yang silap dalam tindakan saya di mata saudara-saudari semua selama ini, saya mohon kemaafan di bulan mulia ini.

Seperkara lagi, saya juga buat masa ini tidak akan mengambil pendirian seperti sesetengah penulis blog yang mempersoalkan isu-isu berkaitan agama atau kaum secara keterlaluan untuk popular.

Tetapi saya akan tetap mempertahankan kesucian agama dan bangsa saya.

Saya ingin memilih jalan tengah...

Saturday, August 30, 2008

Bajet bukti kerajaan prihatin...

Selaku Pengerusi Sekretariat Pembelaan Rakyat, saya melihat Bajet 2009 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai sangat bertepatan dan memahami keperluan rakyat semasa.

Banyak penurunan yang berlaku kali ini. Sama ada secara langsung ke atas barang keperluan rakyat atau secara tidak langsung.

Hampir semua pihak mendapat faedah yang tidak berbelah-bagi lagi.

Diharap bajet seumpama ini akan diteruskan lagi pada masa hadapan agar keyakinan rakyat kepada kerajaan sedia ada dapat dipertingkatkan lagi.

Selain itu, akan lebih indah lagi jika harga minyak dapat dikurangkan (berpandukan penurunan harga minyak dunia) dan harga tol juga disemak kembali.

Beberapa langkah tambahan lagi jika diambil dijangka akan memberikan lebih banyak kelegaan kepada rakyat.

Siapa kata kerajaan yang ada tidak mendengar kata-kata rakyat?

Thursday, August 28, 2008

Mari kita wakaf al-Quran sempena ramadan ini

Ramadan al-Mubarak akan menjelang tidak lama lagi. Marilah kita mengambil peluang ini untuk menambahkan amal kita.

Satu yang mungkin dapat kita lakukan ialah dengan menyertai Program Wakaf al-Quran.

Program ini bertujuan untuk membekalkan al-Quran kepada saudara-saudara Islam kita di negara asing yakni di negara di mana mereka menjadi minoriti dan tidak mendapat perhatian yang wajar dari kerajaan mereka.

Wang yang kita sedahkan akan digunakan untuk membiyai al-Quran bagi kegunaan mereka.

Secara tidak langsung kita membantu melakukan amalan wakaf.

Pahala amalan wakaf akan bertahan selagi mana apa yang kita wakafkan itu kekal digunakan orang ramai walaupun kita telah meninggal dunia.

Program ini dianjurkan secara bersama oleh beberapa NGO iaitu Damai dan Yayasan Restu.

Orang ramai yang berminat untuk membantu boleh menghantar sms dengan menaip WAKAF 1 untuk RM1, WAKAF 2 untuk RM2 dan seterusnya hingga WAKAF 10 untuk RM10 ke nombor 32776.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan mendail 03 5511 9001/2/3 atau dengan melayari www.restu-art.com.

Sumbangan juga boleh disalurkan terus ke Bank Islam Berhad atas nama Tabung Amanah Damai melalui nombor akuan 14041010069493.


Pada rakan-rakan blogers, tolong sebarkan perkara ini demi kebaikkan saudara Islam kita semua terutama di negara lain.

Wednesday, August 27, 2008

Peluru terakhir Anwar Ibrahim...

Akhirnya penduduk Permatang Pauh telah menentukan pilihan mereka....tetap dengan Anwar Ibrahim. Itu hak mereka dan ia sangat dihormati.

Inilah namanya demokrasi dan demokrasi diraikan dengan penuh gemilang di Permatang Pauh.

BN pastinya akan membuat post mortem atau bedah siasat berhubung kekalahan di Permatang Pauh tidak lama lagi.

Sebenarnya, kempen dan sasaran BN sudah amat tepat. Kerja keras berhari-hari sudah mula memperlihatkan tanda-tanda kejayaan dipenghujung kempen.

Keengganan Anwar bersumpah laknat telah membuka mata sebahagian besar penduduk di Permatang Pauh untuk menolak beliau. Di kala itu kejayaan BN juga hampir nyata.

Namun, Anwar tidak boleh diperkecilkan. Beliau yang terkenal dengan politik licik dan belit akhirnya berjaya menggunakan peluru terakhir untuk mengubah senario pilihan raya kecil itu.

Kehadiran Ramlang Porigi, iman Masjid Wilayah Persekutuan yang sebelum itu hadir dalam upacara angkat sumpah pembantu Anwar, Saiful Bukhari telah mengubah segala-galanya.

Biarlah Mufti Wilayah kata Ramlang tidak layak untuk mempersoalkan mengenai sumpah yang dibuat Saiful, namun orang kampung di Permatang Pauh nyata termakan kata-katanya.

Malah sebahagian penduduk menelan bulat-bulat kenyataan yang terbit dari mulut Ramlang.

Ramlang mungkin telah menjadi pemusnah BN di parlimen berkenaan.

Saya yakin kejayaan Anwar tidak mungkin sebesar yang berlaku semalam jika tidak kerana Ramlang. Hampir pasti majoriti beliau mungkin lebih rendah.

Namun, kehadiran Ramlang berlaku pada saat-saat akhir menyebabkan BN tidak sempat menjawab balik dengan sebaik mungkin apa yang dikatakan beliau.

Jadi, akhirnya Anwar yang mendapat untung daripada tindakannya untuk tidak melakukan sumpah.

Monday, August 25, 2008

Penentuan di Permatang Pauh

Selepas meredah hampir 10 hari kempen yang begitu memenatkan di Permatang Pauh, maka kini masa yang dinantikan sudah hampir.

Siapakah yang bakal menjadi pilihan hati penduduk Permatang Pauh.

Walaupun pada awalnya jangkaan memihak kepada Anwar Ibrahim, tetapi kini nampaknya keputusan tidak semudah yang dijangka.

Seperti yang dijanjikan oleh BN, maka saingan sengitlah yang diberikan.

Saya yakin, jika Anwar bertanding di luar Permatang Pauh, kemungkinan besar beliau pasti tewas terutama selepas beliau enggan bersumpah laknat atas dakwaan meliwat pembantunya 'budak kopi' - Saiful Bukhari.

Permainan politik beliau di Permatang Pauh diberikan asakan yang hebat oleh BN.

Ini adalah pilihan raya yang paling dramatik dalam sejarah politik negara dan mungkin yang paling menarik.

Saya juga tidak sabar menantikan keputusannya.......

Thursday, August 21, 2008

Kenapa Anwar tidak mahu bersumpah?

Bila disuruh bersumpah, Anwar kata dalam ceramah dia, "ada ulamak dari luar negara tulis surat berjela-jela cakap 'Anwar, jangan bersumpah'.....ceh, ulamak mana ni? Bagilah nama dan tempat asal dia...setakat cakap sahaja siapa pun boleh.

Sedangkan ulamak tempatan sudah ramai yang kata sumpah laknat seperti yang dibuat Saiful itu boleh dilakukan... contohnya Mufti Wilayah Persekutuan seperti yang disarkan sebuah akhbar baru-baru ini.


KUALA LUMPUR 19 Ogos _ Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mempertahankan sumpah yang dilakukan oleh Mohd. Saiful Bukhari Azlan di Masjid Wilayah Persekutuan pada 15 Ogos lalu sebagai harus dan tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Muftinya , Datuk Wan Zahidi Wan Teh berkata, persamaan zahir terhadap apa yang dilakukan oleh Mohd. Saiful tidak boleh dijadikan asas untuk menyamakan tindakan beliau itu sebagai meniru cara agama Kristian.

"Misalnya paderi Kristian menyebut kalimah 'amin' ketika melakukan upacara doa di gereja, namun umat Islam tidak boleh dianggap meniru Kristian dengan menyebut kalimah 'amin' dalam sembahyang dan ketika berdoa," katanya.

Beliau menjelaskan, hukum harus dan tidak bercanggah tindakan Mohd. Saiful itu boleh dilihat melalui pendapat ulama seperti Al-Allamah Abu Bakar Othman Muhammad Syatta al-Dimyati al-Bakri dalam kitabnya ‘Hasyiah l’anah al-Talibin’.

Katanya, Abu Bakar dalam kitab itu menjelaskan bahawa sumpah atau ‘yamin’ terbahagi kepada dua iaitu dalam perbicaraan di mahkamah dan kedua, di luar perbicaraan.

“Dalam bahagian kedua ini, sumpah sah dilakukan oleh seseorang yang mukalaf dengan pilihan sendiri.

“Perkara yang menjadi objek sumpah pula ialah perkara yang lalu atau yang akan datang, manakala perkara yang digunakan untuk bersumpah ialah nama Allah dan sifat-sifatnya dengan didahului oleh huruf qasam iaitu ‘waw’, ‘ba’ dan ‘ta’.

“Sumpah seperti ini harus dilakukan jika difikirkan perlu, seperti untuk menguatkan percakapan atau kenyataan,” katanya.

Kata Wan Zahidi, melalui penjelasan itu maka sumpah Mohd. Saiful adalah sah sebagai sumpah di luar perbicaraan atau ‘alyamin qhairul qadhaiyah’.

“Dan ia juga bukan sumpah ‘mubahalah’ seperti yang terdapat dalam ayat 61 surah Al Imran kerana ‘mubahalah’ memerlukan persetujuan pihak kedua,” katanya.

Beliau selanjutnya memberikan contoh bagaimana upacara ‘mubahalah’ antara Rasulullah SAW dengan rombongan Nasrani dari Najran tidak berlaku kerana mereka enggan melakukannya dan meminta pilihan lain.

Kata beliau, dalam kitab yang sama menjelaskan mengenai pemberatan sumpah atau ‘taghliz al-yamin’ yang boleh dilakukan daripada segi tempat atau masa.

Katanya, kitab itu menyatakan sumpah dapat diperkuatkan atau diberatkan jika dilakukan selepas sembahyang asar hari Jumaat, dalam masjid di sisi mimbar, meriba mushaf (al-Quran) dan meletak tangan di atasnya atau dibacakan kepadanya ayat 77 daripada surah al-Imran.

Mengenai hukum meletak tangan atas mushaf , Wan Zahidi turut memberikan beberapa contoh fatwa tambahan selain dari kandungan dalam kitab Hasyiah l’anah al-Talibin’.

Katanya, Mantan Mufti Mesir 1945 hingga 1950, Al-Sheikh Hasanin Muahammad Makhluf dalam kitabnya, ‘Fatwa Syariyyah’ ketika menjawab soalan mengenai hukum bersumpah dengan mushaf, beliau memetik pendapat Al-Imam Al-Aini seperti berikut:

“Jika seseorang bersumpah dengan mushaf atau meletakkan tangan ke atasnya, atau berkata;
Demi Quran ini - maka ia adalah sumpah yang sah mengikut pendapat Imam Syafie, Hanafi dan Hambali.

Tambah beliau, Shaikh Muhammad Abu Zuhra dalam bukunya ‘Fatawa al-Sheikh Muhammad Abu Zuhra’ dalam jawapannya kepada soalan tentang hukum bersumpah dengan nama Allah dengan meletakkan tangan atas mushaf menyatakan;

``Bersumpah dengan nama Allah dengan meletakkan tangan ke atas mushaf adalah sumpah yang sah.’’

Justeru kata beliau, huraian yang diberikan dapat memperlihatkan dengan jelas bahawa sumpah yang dibuat Mohd. Saiful adalah menepati ajaran Islam dan tidak meniru Kristian.

Menurut Wan Zahidi, penjelasan daripada pihaknya adalah perlu memandangkan wujud percanggahan pandangan pelbagai pihak berhubung tindakan Mohd. Saiful itu.

---------------------------------------------------------------------------------------------
Sekarang, saya hendak mencabar Anwar sekali lagi... angkatlah sumpah kalau benar anda tidak bersalah.....jangan guna alasan ulamak luar negara tidak bagi, apakah ulamak dalam negara tidak setimpal ilmu mereka....jangan bagi alasan lagi.....buat segera!

Monday, August 11, 2008

Jangan ragu-ragu menggunakan Akta Hasutan atau ISA.

Hanya kerana satu kumpulan kecil yang hendak jadi jaguh kebebasan bersuara (Kebebasan bersuara satu belah sahaja), tidak bermakna keselamatan jutaan rakyat yang lain harus digadaikan.

Campak sahaja muka-muka atau individu yang merasakan atau perasan dirinya terlalu bijak sehingga menggangu keselamatan negara ke pusat tahanan ISA.

Bukan bertujuan untuk menakutkan, tetapi Akta Hasutan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri adalah saluran perundangan yang berbentuk pencegahan. Mencegah dari sesuatu keadaan menjadi buruk.

Jika digunakan mengikut keperluan dan adil, maka undang-undang seperti ISA sangat berguna sebenarnya.

Justeru, bila ada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan yang tidak faham bahasa dan menganjurkan perkara-perkara yang menganggu gugat keselamatan negara, apa lagi, gunalah ISA.

Gunakan tanpa was-was.

Saturday, August 9, 2008

Jangan Hina Ajaran Islam

Sikap biadap sesetengah pihak dalam isu forum memeluk Islam anjuran Majlis Peguam memang agak nyata.

Kalau dibaca komen-komen dalam blog pro pembangkang seperti milik Lim Kit Siang umpamanya, bertalu-talu hentaman ke atas agama Islam dibuat.

Pemberi komen ini semua membelasah agama Islam pula dengan tidak semena-mena.Terutama selepas forum itu terpaksa dihabiskan awal hari ini.

Isu sebenarnya adalah berkaitan bidang kuasa mahkamah sivil dan syariah di negara ini yang terkandung secara langsung dalam Perlembagaan persekutuan.

Isu-isu berkaitan agama Islam sememangnya jatuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah dan bukannya sivil.

Jadi, yang menjadi isu sekarang ini adalah yang bukan Islam tidak mahu terikat dengan sebarang hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Syariah.

Mereka juga mahu perkara seperti jika salah satu pasangan memeluk Islam, maka anak-anak mereka perlu kekal dalam agama asal dan tidak dibawa ke dalam agama Islam.

Apa sahaja pertikaian mereka mahu diselesaikan di mahkamah sivil kerana beranggapan mahkamah Syariah tidak akan berlaku adil ke atas diri mereka.

Intipati rasa tidak puas hati itu adalah berkaitan dengan Perlembagaan yang menjelaskan kedudukan dan kekuasaan Islam di negara ini.

Bukannya ada berkaitan dengan ajaran Islam.

Justeru, bila pemberi komen ini mula melepaskan geram pada agama Islam itu sendiri, maka itu tindakan yang salah.

Jangan cuba gambarkan ajaran Islam itu sebagai buruk dan tidak bertamadun.

Ajaran Islam sudah jelas dan nyata. Tiada sesiapa yang dipaksa memasuki agama itu.

Tetapi apa yang nyata, jika anda sudah memutuskan untuk memeluknya, maka anda tidak boleh meninggalkannya.

Justeru, fikir secara mendalam dan hayati ajarannya sebelum anda memutuskan untuk menjadi seorang Muslim.

Kalau hendak menjawab, banyak yang boleh kita pertikaikan mengenai agama lain juga, tetapi tidak ada faedah untuk kita berbalah pasal agama.

Cuma satu peringatan, halakan rasa tidak puas hati anda pada perkara yang berkaitan Perlembagaan, bukannya ajaran Islam itu sendiri.

Ajaran Islam cukup sempurna, tidak ada apa yang salah padanya. Jangan menguji Orang Islam secara keterlaluan.....

Wednesday, August 6, 2008

Kasih ibu bawa ke syurga

Setiap dari kita yang menjadi ibu bapa pasti faham apakah itu kasih kepada anak.

Gelak tawa dan tanggisan anak adalah sesuatu yang akan kita rindu setiap masa walaupun berjauhan hanya untuk sementara waktu sahaja.

Kasih ibu bawa ke syurga, kasih bapa berganti nyawa.

Justeru, apabila Salwanis Maaz datang bertemu saya, saya amat tersentuh hati dengan apa yang menimpanya.

Saya tidak faham mengapa suaminya yang juga bapa kepada anaknya itu sanggup membawa lari anak mereka yang berusia tiga bulan ke negara asing.

Sekuat mana bapanya itu menyayangi anaknya, apakah dia lupa isterinya yang juga ibu kanak-kanak itu turut merasakan perasaan yang sama.

Adakah ini satu perbuatan yang adil.

Dapatkan kita bayangkan perasaan wanita ini...bukan sukar, kalau kita ibu atau bapa, bayangkan anak kita dilarikan.....mungkin kejam bunyinya tetapi itu sahaja cara untuk menyelami perasaan wanita ini.

Justeru, Sekretariat berazam untuk membantu sebaik mungkin agar ibu ini tidak ketandusan jiwa merindui anaknya itu.

Kempen secara berhemah

Kempen pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh bermula 16 Ogos ini perlu dijalankan secara berhemah kerana ia bakal menarik perhatian masyarakat antarabangsa.

Seluruh dunia akan memberi tumpuan kepada pilihan raya kecil tersebut untuk menilai sejauh mana sistem demokrasi negara dijalankan dalam suasana yang harmoni.

Kita tidak mahu dunia luar melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang bermasalah dan berada dalam keadaan kucar-kacir kerana ia akan memberi persepsi buruk kepada para pelancong dan pelabur sehingga mereka takut untuk datang ke sini.

Segala aktiviti yang dijalankan sepanjang kempen pilihan raya perlu mengikut undang-undang dan garis panduan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Saya berharap semua pihak yang terlibat dalam pilihan raya kecil ini akan menghormati undang-undang dan norma masyarakat di negara ini dan menghindari daripada berlakunya sebarang pergaduhan.

Saya juga yakin Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak akan memilih calon yang terbaik dalam kalangan anak tempatan untuk bertanding menentang Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil tersebut.

Malah, Perdana Menteri telah pun menetapkan satu kriteria utama bakal calon ialah seorang yang sanggup berkhidmat kepada rakyat.

Saya yakin memang itu yang akan dilakukan calon terbabit kelak.

Diharap calon yang dipilih dapat membantu BN merampas balik parlimen tersebut meskipun persaingan di pilihan raya kecil itu dijangka sengit.