Thursday, July 31, 2008

Jawatan Ahli Parlimen bukan hak milik keluarga

Jawatan MP adalah tanggungjawab rakyat kepada pemimpin. Dan tanggungjawab pemimpin kepada rakyat.

Ia sama sekali bukan milik peribadi seorang pemimpin atau milik peribadi emak, bapak, datuk, nenek, abang, adik, isteri atau suami pemimpin itu.

Justeru, bila rakyat sudah memilih seseorang pemimpin, maka adalah tanggungjawab pemimpin itu untuk membantu rakyat di sesuatu tempat itu.

Sesuatu kerusi Parlimen itu hanya boleh ditandingi lagi bila pemimpinnya meninggal dunia atau pilihan raya umum berlaku.

Jadi dalam kes Permatang Pauh, apakah hak Wan Azizah selalu MP di kawasan itu untuk berhenti bagi memberikan laluan kepada Anwar untuk bertanding di Parlimen itu?

Diulangi, jawatan MP milik Azizah adalah amanah yang diberikan rakyat tempat itu kepada beliau dalam pilihan raya umum yang lalu.

Kenapa pulak beliau boleh berhenti untuk memberikan laluan kepada Anwar pula...jawatan MP bukan milik keluarga.

Seperti yang dikatakan, ia adalah amanah bukan Sdn Bhd punya jawatan.

Wednesday, July 30, 2008

To our glorious death

To our glorious death... itulah kata-kata yang terpapar di sebuah tugu kecil yang akan kita temui semasa kita berjalan ke arah Tugu Peringatan Negara.

Sangat mudah kata-katanya tetapi sangat mendalam pengertiannya. Kata-kata itu seakan mencerminkan semangat pahlawan iaitu mati bukan benda yang perlu ditakuti. Matinya mereka meninggalkan nama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pagi ini turut meletakkan bunga di Tugu Peringatan Negara sebagai tanda hormat atas pengorbanan wira-wira negara.

Marilah kita menyedekahkan al-Fatihah untuk para syuhada yang beragama Islam yang gugur ketika mempertahankan negara ini demi kepentingan kita semua.

Semoga mereka ditempatkan di Jannah...Amin.

Tuesday, July 29, 2008

Hikayat ketam Cina Ketam Melayu

Mungkin sebahagian daripada kita pernah mendengar cerita ini. Mungkin dalam versi yang sama atau versi yang lain. Tetapi mungkin ada sebahagian yang tidak...maka paparan cerita ini adalah untuk mereka yang tidak pernah mendengarnya.

Kisahnya bermula begini, seorang pembeli (P) bertemu seorang penjual ketam (T) untuk membeli haiwan itu.

P: Tokey, ketam hidup ada jual ka?

T: Ada, ada...mau ketam Melayu ka ketam Cina?

P: Hah....ada ketam itu macam pun ka...apa beza?

T: Mari sini saya tunjuk (sambil membawa bakal pembeli melihat dua bakul). Ini ketam tarak ikat punya, ketam Melayu, itu ketam ada ikat punya semua ketam Cina.

P: ????...apa pasal itu macam?

T: Ketam Melayu tarak susah mau jaga, bila-bila ada satu ekor mau lari keluar, lain-lain ketam akan tangkap dia punya kaki tak mau kasi dia keluar. Tapi kalau ketam Cina, bila satu ekor mau keluar, yang lain nanti kasi tolak dia punya kaki untuk tolong dia keluar. Ketam Cina banyak united wooo.

P: Itu macam ka.......

Mesej: Adakalanya hasad dengki kita keterlaluan sehingga kita secara tidak sedar menghancurkan diri dan bangsa kita sendiri. Bersatulah bangsa Melayu.

Monday, July 28, 2008

Terengganu dan Mercedes

Jika Proton bukan kereta nasional dan sekarang bukan zaman harga minyak meningkat tinggi, mungkin tindakan kerajaan Terengganu membeli 14 buah Mercedes E200 Kompressor tidak akan menjadi isu yang terlalu hangat.

Ini kerana, semua tahu bahawa ia sebuah negeri yang berkemampuan. Hakikat itu tidak boleh dinafikan sama sekali. Menggunakan kenderaan seperti Mercedes hanya menepati statusnya sebagai negeri kaya dengan hasil minyak.

Namun, sayang sekali kerajaan negeri mengambil pendirian untuk mengubah kereta mereka pada masa harga minyak meningkat begitu tinggi dan kerajaan pusat meminta semua pihak berjimat cermat.

Ada pengajaran di sebalik episod yang berlaku.

Pertama, Proton perlu dipertahankan kerana ia simbolik kepada kemajuan, usaha dan keinginan negara untuk memajukan bidang automotifnya.

Kedua, rakyat tidak mahu melihat apa-apa sahaja tindakan pemimpin mereka sebagai bersifat boros dan tidak sensitif terutama di kala harga minyak meningkat.

Saya yakin, kerajaan negeri Terengganu tidak akan mengambil langkah menukar kereta rasmi para exconya jika mengetahui akan wujud sebegitu banyak tentangan.

Namun yang paling penting pada hemat saya ialah Proton sendiri perlu meninjau dan membuat pembetulan kerana aduan berhubung kualiti Proton Perdana V6 Executive terutama gearbox bukan hanya dari kerajaan negeri Terengganu.

Jika dilihat pada bahagian forum atau sms aduan dalam akhbar, orang awam pun ada yang mengadukan perkara yang sama.

Justeru, silap pada Proton pun mungkin ada juga.

Sunday, July 27, 2008

APAKAH REAKSI KITA JIKA WUJUD HANYA SATU PARTI POLITIK YANG MEWAKILI ORANG MELAYU DI NEGARA INI ? ADAKAH IA SATU DEMOKRASI YANG SIHAT? ADAKAH IA MENJAMIN KETUANAN MELAYU YANG LEBIH UTUH DI NEGARA INI ?


27/07/2008 3:35pm

KOTA BHARU 27 Julai — Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata cadangan beliau supaya Pas dan UMNO dibubarkan bagi membentuk satu parti baru akan dibawa ke Muktamar Tahunan Ke-54 parti itu di Ipoh, Perak pada 15 hingga 17 Ogos depan.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, ia bertujuan bagi mendapatkan pandangan daripada perwakilan Pas dari seluruh negara berhubung cadangan itu.

“Kita akan bawa usul ini ke muktamar dan saya juga akan menjawab sebarang persoalan berkaitan isu ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pembangunan Indusri Halal Nasional, di sini, hari ini.

Semalam, Nik Abdul Aziz mencadangkan supaya kedua-dua parti itu dibubarkan dengan menubuhkan sebuah parti baru berlandaskan Islam bagi menyatukan orang Melayu dan sebagai tempat berlindung kepada semua pihak termasuk bukan Islam.

Beliau berkata, dengan cara demikian ia dapat mengembalikan kekuatan Islam di negara ini di samping merapatkan hubungan antara kaum termasuk bukan Islam.- Bernama

Saturday, July 26, 2008

Pengajaran dari Sabah

Antara permintaan yang diutarakan para pemimpin politik dari Sabah selepas pilihan raya umum ke-12 ialah pendatang asing tanpa izin atau PATI di negeri itu dikurangkan kerana jumlah mereka yang terlalu ramai menutup ruang rezeki dan mewujudkan ancaman keselamatan ke atas penduduk negeri berkenaan.

Memang benar apa yang menjadi kebimbangan rakyat Sabah itu dan apa yang diminta sangat perlu diberikan perhatian.

Namun, permintaan dari Sabah itu sebenarnya mempunyai satu bentuk pengajaran yang bermakna untuk semua penduduk di negara ini.

Sebenarnya masalah PATI bukan hanya terhad sekitar Sabah sahaja. Ia sudah lama menular di Semenanjung juga. Jumlah pendatang asing terutama dari Indonesia dan Bangladesh di semenanjung mungkin boleh menyamai jumlah di Sabah.

Hasilnya, banyak pekerjaan yang sebenarnya sesuai untuk rakyat tempatan kini dikuasai sepenuhnya pendatang asing. Ini mewujudkan situasi yang sukar dalam masyarakat.

Anak-anak kaum India yang kurang berjaya dari segi akademik umpamnya tidak dapat kembali bekerja di ladang-ladang kerana pekerjaan mereka diambil alih buruh-buruh murah asing.

Ada buruh berkenaan yang digajikan dengan sah tetapi ramai yang melalui saluran haram.

Apa yang hendak saya sampaikan di sini ialah kerajaan perlu sekali mengambil pengajaran dari apa yang berlaku di Sabah untuk difahami dalam konteks seluruh negara.

Rakyat di Semenanjung juga sebenarnya ramai yang kurang senang dengan kebanjiran PATI. Umumnya rakyat menerima pekerja asing yang masuk secara sah dan memenuhi kekurangan dalam sektor tertentu.

Malah, adakalanya seperti sektor pembantu rumah amat sekali dialu-alukan.

Namun, kebanjiran PATI memang ditolak. Meraka hanya menyusahkan seperti yang berlaku di Sabah apabial ia menjadi barah kini.

Justeru, janganlah hendaknya barah yang sama melarat ke Semenanjung pula. Ambilah pengajaran dari apa yang berlaku di Sabah itu ke Semenanjung juga.

Bertindaklah sekarang sebelum barah yang sama menyerang negeri-negeri di Semenanjung pula. Jangan bila rakyat sudah marah dengan kerajaan baru hendak bertindak.

Tiba masanya Malaysia mengamalkan budaya pengurusan masalah melalui kaedah ramalan atau jangkaan dan bukannya pengurusan masalah melalui krisis.

Dalam hal PATI, runggutan dari Sabah harus dijadikan sandaran untuk mengelakkan perkara yang sama berlaku di Semenanjung.

Dalam erti kata lain, pihak berkenaan terutama Imigresen jangan sibuk mengenakan 'levi-levi tambahan' tetapi berusaha memastikan negeri-negeri Semenanjung tidak melalui nasib Sabah.

Jangan bila masalah lambakan PATI seperti di Sabah melarat tanpa kawalan di negeri-negeri Semenanjung baru terhegeh-hegeh nak bertindak. Masa itu mungkin sudah terlalu lambat.

Thursday, July 24, 2008

Kediaman Tinggi Perlu Lebih Selamat

SEKRETARIAT Pembelaan Masyarakat Pemuda UMNO bersimpati dan mengucapkan takziah kepada ahli keluarga dan para waris Allahyarham Nik Mohd. Danial Ashraf Nik Zainal, 4 yang meninggal dunia akibat terjatuh dari Tingkat 13 Pangsapuri Fasa 11, Presint 9, Putrajaya, 20 Julai lalu.

Sekretariat berharap keluarga Allahyarham dapat bertenang dengan apa yang terjadi.
Seperkara yang ingin saya tekankan di sini ialah kejadian yang menimpa Allahyarham bukan yang pertama dilaporkan di negara ini malah semakin kerap.

Saya bimbang jika tidak ada tindakan segera atau proaktif diambil, mungkin kejadian seperti itu menjadi lebih kerap lagi pada masa hadapan.

Kita semua tahu jumlah kediaman tinggi akan bertambah di seluruh negara terutama di bandar-bandar utama berikutan peningkatan nilai tanah menjadikan kediaman teres menjadi terlalu mahal untuk dimiliki.

Di masa hadapan, lebih banyak kediaman tinggi seperti pangsapuri dan kondominium akan tumbuh di merata tempat.

Adalah dengan ini, Sekretariat mahukan agar Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan tampil segera dengan garis panduan yang lebih jelas dan ketat berkaitan keselamatan kediaman tinggi di negara ini.

Undang-undang sedia ada nampaknya sudah semakin tidak releven. Peraturan-peraturan pembinaan baru harus diperkenalkan bagi mengelakkan kejadian kanak-kanak kecil kehilangan nyawa akibat terjatuh banguna tinggi dari berulang.

Sekretariat tidak mahu kediaman tinggi di negara ini menjadi perangkap maut untuk kanak-kanak dan pihak kementerian harus berusaha mengatasi perkara ini.

Langkah awal yang boleh dibuat adalah mengadakan pertemuan dan mendapatkan pandangan pemaju kediaman tinggi di negara ini akan kaedah-kaedah yang boleh diperkenalkan bagi mengelakkan kejadian kanak-kanak maut akibat terjatuh dari tempat tinggi dari berlaku.

Apa sahaja maklum balas positif hendaklah cuba diusahakan untuk diperkenalkan dalam standard pembinaan kediaman tinggi di negara ini.

Pandangan pihak polis dan bomba juga perlu diambil kira dalam hal ini.

Sunday, July 20, 2008

LANGKAH MULIA....

Alhamdulillah, muzakarah antara UMNO dan Pas sudah berlangsung rupanya sebelum ini melibatkan kepimpinan tertinggi kedua-dua parti.

Sudah tiga kali kedua-dua pihak bertemu sebelum ini.

Ini satu perkembangan yang baik dan sihat untuk negara. Saya melihat ini juga sebagai langkah yang akan menjamin kelangsungan dan ketuanan Melayu di negara ini.

Kalau kita terus bertelagah pun tidak ada gunanya. Akhirnya yang rugi Melayu juga. Jangan jadi di masa depan mana-mana pihak (tidak kira UMNO atau Pas) yang menang sorak tetapi kampung tergadai.

Muzakarah yang diadakan tidak semestinya memberikan gambaran seolah-olah kedua parti Melayu Islam itu perlu bergabung, walaupun jika itu berlaku memang lebih baik, tetapi mencerminkan Melayu pasti akan bersatu jika kedudukan mereka terancam.

Semangat seperti ini perlu diteruskan. Dan seperti kata Perdana Menteri, muzakarah tidak memerlukan sebarang bentuk syarat, yang penting adalah keikhlasan.

Juga tidak timbul sebarang soal UMNO mahu berbuat demikian kerana ia semakin lemah.

Politik adalah perkara terakhir sekali yang perlu difikirkan apabila soal kelangsungan bangsa muncul.

Apa pun, diharap Muzakarah itu akan diteruskan dan melahirkan permuafakatan yang baik antara kedua-dua pihak.

Thursday, July 17, 2008

Tahniah Shabery

Berhubung debat minyak baru-baru ini, ingin saya nyatakan bahawa Menteri Penerangan, Dato' Ahmad Shabery Cheek telah bertindak agak cemerlang.

Kita semua perlu ingat, Shabery mewakili kerajaan mempertahankan satu tindakan kurang popular kerajaan iaitu peningkatan harga minyak.

Sehebat mana pun beliau berhujuh malam itu, pasti beliau akan dilihat sebagai gagal kerana majoriti rakyat memang tidak setuju dengan peningkatan harga minyak. Itu hakikat yang tidak dapat ditolak.

Anwar pula berterusan memberikan janji untuk menurunkan harga minyak. Dalam erti kata lain, Anwar bercakap apa yang orang hendak dengar tetapi Shabery pula bercakap apa yang orang tidak ingin dengar.

Secara moralnya Anwar sudah menang di situ. Persepsi keseluruhan dipengaruhi hakikat itu iaitu Anwar janji benda yang sedap tetapi Shabery pertahankan benda yang orang tidak suka.

Sepanjang debat, ramai yang menutup telinga kepada fakta yang disampaikan Shabery kerana lebih seronok mendengar apa yang Anwar katakan itu. Walaupun hakikatnya ia pasti sukar untuk dilaksanakan dengan keadaan harga minyak dunia kini.

Namun, banyak kali juga Shabery memberikan hujah yang menengelamkan sedikit Anwar. Tetapi satu silap Shabery pada saya ialah beliau gagal memperkukuhkan hujah-hujah beliau. Shabery kerap kali bercakap mengenai sesuatu poin itu secara sekali lalu sahaja.

Apa pun, Shabery telah memberikan yang terbaik. Beliau telah menyampaikan mesej iaitu kerajaan memang tidak ada pilihan selain meningkatkan harga minyak. Beliau secara langsung menjelaskan bahawa kerajaan tidak akan meningkatkan harga minyak jika tidak perlu berbuat demikian.

Mengapa kerajaan mahu ambil tindakan yang menyebabkannya menjadi tidak popular?

Apa pun, tahniah Shabery.

Debat minyak... dan Anwar

Belum terlambat rasanya untuk saya mengulas sedikit mengenai debat minyak baru-baru ini.
Ramai yang mungkin termakan dengan kata-kata Anwar yang sememangnya seorang pendebat yang tidak ada tolok bandingnya.

Setiap yang dilemparkan dijawab beliau dengan begitu pantas. Tetapi setakat mana kebenaran perkara itu memang sukar untuk disahkan.

Mengenai jawapan beliau bahawa krisis kewangan 1997-98 adalah satu fitnah besar dalam debat itu agar payah untuk diterima.

Menurut seorang rakan wartawan yang banyak membuat coverage semasa krisis ekonomi berkenaan, jawapan Anwar itu adalah antara perkara sangat tidak digemarinya.

Menurut wartawan berkenaan, jawapan Anwar itu amat berlainan daripada apa yang beliau dan rakan-rakannya lalui ketika itu.

Rakan wartawan saya itu ada menceritakan mengenai beberapa perkara tetapi saya tidak siarkan kerana beliau mahu identitinya dirahsiakan.

Siapa akan percaya kalau saya siarkan kenyataan wartawan berkenaan tanpa memberitahu siapa dirinya. Ramai yang akan ingat saya sengaja mereka-reka cerita nanti.

Namun, mungkin Tun boleh mengulas lanjut hal-hal seperti ini. Tun perlu berkongsi lebih sedikit pengalaman beliau dengan Anwar ketika itu.

Apa pun, hakikat berkenaan IMF rasanya diketahui hampir kebanyakkan rakyat negara ini termasuk juga oleh para penyokong Anwar sendiri.

Anwar boleh cakap apa sahaja, tetapi kalau kita selak sejarah sedikit, mungkin lain yang akan kita temui.

Wednesday, July 16, 2008

ANWAR IBRAHIM

Penahanan Datuk Seri Anwar Ibrahim memang sesuatu yang telah menjadi buah mulut sejak kes liwat melibatkan beliau bermula. Pasti ramai di kalangan penyokong beliau yang tidak dapat menerima apa yang berlaku itu. Tetapi saya ingin meminta semua pihak agar bersabar.

Harap tidak ada sesiapa yang mengikut perasaan dan mula mengadakan demonstrasi jalanan dan sebagainya.

Ekonomi negara seperti juga ekonomi negara lain di dunia sedang perlahan akibat kenaikan harga minyak. Jika rakyat mula turun ke jalanan membantah penahanan pemimpin mereka, maka keadaan akan menjadi lebih buruk.

Pelabur akan menjauhkan diri. Mereka akan hilang keyakinan dengan kestabilan negara yang merupakan elemen penting kepada kedatangan pelabur ke negara ini.

Ini tidak baik untuk ekonomi kita. Dalam jangka panjang dikhuatiri keadaan ekonomi menjadi lebih buruk. Elakkan diri daripada melakukan sesuatu yang tidak menentu. Bersabarlah...dan ingat negara ada undang-undang.

**Anwar ditahan pada 1 tengah hari, 16 Julai 2008 oleh sepasukan anggota polis yang menaiki tiga kenderaan, kira-kira 50 meter dari rumah Anwar di Segambut, sebelum diiringi ke IPKKL.

BIASISWA JPA

Berat...itulah yang boleh saya katakan mengenai isu ini. Kenyataan sudah sudah dibuat.

Masyarakat bukan bumiputera sudah bergembira, takkan sekarang kita hendak tarik balik pula janji yang sudah diucapkan.

Pada masa yang sama, takkan kita hendak nafikan hak pelajar bumiputera. Mereka hilang puluhan peratus atau ratusan biasiswa berikutan tindakan ini.

Usaha kita untuk menghasilkan lebih ramai profesional Melayu mungkin terbantut sedikit dengan langkah terbaru ini.

Selaku pemimpin UMNO, parti keramat oarang Melayu, saya tidak boleh membiarkan perkara ini berlaku tanpa ada sebarang tindakan pembetulan diambil.

Takkan kita hendak tutup mata, masa depan anak-anak kita tergantung dan menjadi malap. Tindakan memperbaiki keadaan perlu diambil.

Namun, saya juga memahami bahawa pelajar-pelajar bukan bumiputera dan ibu bapa juga sudah pasti terlalu gembira dengan pengumuman ini.

Kalau kita bertindak menarik balik apa yang dijanjikan kepada mereka, maka 'all hell will break loose'.

Barisan Nasional (BN) memang sudah lemah kini kerana sokongan masyarakat Cina dan India berada pada tahap paling rendah dalam sejarah politik tanah air. Kalau kita bertindak menarik balik janji 45 peratus itu, maka percayalah, sokongan lemah kemungkinan besar menjadi tiada sokongan langsung.

Dengan adanya blogers hampeh yang sentiasa meracun fikiran masyarakat, maka perkara ini akan diulang-ulang hingga terbuku dalam hati masyarakat bukan bumiputera dan kita menerima padah yang lebih buruk pada pilihan raya umum ke 13 nanti.

Dah tu, apa yang tinggal sekarang ialah JPA perlu meningkatkan jumlah biasiswa dan biasisawa baru itu diberikan kepada pelajar bumiputera.

Jumlah yang sudah dijanjikan kepada pelajar bukan bumiputera pula dikekalkan.

Jumlah baru yang diterima pelajar bumiputera melalui peningkatan itu pula hendaklah lebih banyak daripada jumlah 90 peratus yang diterima sebelum ini.

Jika pertambahan baru biasiswa itu hanya menyamai jumlah sebelum ini, saya rasa itu tidak berapa berpatutan.

Pelajar bumiputera yang jumlah mereka lebih ramai di negara ini perlu lebih biasiswa, tidak ada apa yang perlu dibincangkan berkenaan perkara itu.

Ia lojik umum yang patutnya semua orang faham terutama pemimpin bersikap perkauman dalam DAP yang pasti mengecur air liur hendak mempolitikkan perkara ini sekarang.

Memang tidak dinafikan langkah penyelesaian itu akan melibatkan pengorbanan wang jika hendak dilaksanakan. Tetapi bagitahulah saya kalau ada kaedah penyelesaian lain yang boleh dilakukan dalam aspek ini.

Percalah, kalau janji 45 peratus biasiswa kepada pelajar bukan bumiputera ditarik balik...mungkin huru-hara sekejap hubungan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Dan kalau pelajar bumiputera dibiarkan dalam kerugian, maka kita selaku rakyat majoriti pula akan merasa diri tertindas.

Justeru, kepada JPA, buatlah apa yang terbaik, tetapi ambil kira perasaan dan sensitiviti semua pihak dalam hal ini.

BERIKUT KENYATAAN SAYA SELAKU PENGERUSI SEKRETARIAT PEMBELAAN MASYARAKAT YANG DISIARKAN UTUSAN MALAYSIA PADA 11 JULAI

Tambah jumlah biasiswa JPA

KUALA LUMPUR 10 Julai – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diminta menambah jumlah biasiswa yang diperuntukkan kepada pelajar bumiputera di samping mengekalkan jumlah baru biasiswa yang telah dijanjikan kepada pelajar bukan bumiputera.

Pengerusi Sekretariat Pembelaan Masyarakat Pergerakan Putera UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, langkah terpenting bagi JPA sekarang adalah memastikan keadilan untuk kedua-dua pihak iaitu pelajar bumiputera dan bukan bumiputera.

Beliau menegaskan, bukan sesuatu yang mudah untuk menarik balik kouta yang telah diumumkan kepada pelajar bukan bumiputera tetapi pada masa yang sama, hak pelajar bumiputera juga perlu dipertahankan.

“Tiada cara lain yang lebih baik melainkan JPA menambah bilangan biasiswa yang ditawarkan dan tambahan biasiswa itu diberikan kepada pelajar bumiputera.

“Dalam erti kata lain, kedua-dua pihak menerima pertambahan pemberian biasiswa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelas beliau, pihaknya menyokong kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa isu pemberian biasiswa JPA perlu disemak memandangkan wujud desakan pelbagai pihak yang menuntut kerajaan agar berbuat demikian.

JPA sebelum ini menawarkan 2,000 biasiswa setiap tahun untuk Program Ijazah Luar Negara dengan pecahan 90 peratus kepada pelajar bumiputera dan bakinya kepada bukan bumiputera.

Namun, nisbah pemberian biasiswa itu diubah baru-baru ini dengan 50 peratus diberikan kepada bumiputera, 45 peratus bukan bumiputera dan lima peratus untuk kaum-kaum lain.

Monday, July 7, 2008

Pembangkang Bila Lagi Nak Bijak Dan Matang?

PROTES sejuta rakyat bagi menurun harga minyak yang berlangsung di Stadium Petaling Jaya Ahad lepas (6 Julai) gagal menarik pengunjung yang disasarkan. Hanya sekitar 10,000 orang sahaja yang hadir untuk menyertai protes itu yang turut dicemari oleh pergaduhan sesama peserta akibat tindakan seorang penyanyi jemputan melondehkan seluar ketika membuat persembahan.

Memalukan....itulah yang boleh dikatakan mengenai apa yang berlaku itu.Buat tak senonoh di hadapan wanita dan kanak-kanak. Dengar cerita, lepas kejadian itu penganjur terburu-buru bagi pelbagai macam alasan untuk menjaga air muka sendiri.

Sayang, pihak penganjur sepanjang hari mengajar kerajaan Barisan Nasional (BN) cara-cara untuk mentadbir negara, tetapi akhirnya gagal menganjurkan satu protes mudah dengan jayanya.

Bagaimana agaknya penganjur yang dibarisi pembangkang hendak mentadbir negara ini jika diberikan peluang. Itulah, jangan asyik nak mengata orang kalau diri sendiri pun tidak mampu nak ke mana sangat kawan.

Perhimpunan gagal mungkin banyak sebab dan tidak semestinya kerana tindakan polis membuat sekatan jalan raya di merata tempat seperti didakwa penganjur. Agaknya kerana rakyat mahu meluahkan perasaan dan keinginan masing-masing melalui platform yang lebih baik kot dan bukan melalui protes.

Mungkin juga ada rakyat yang faham bahawa takkan kerajaan hendak mengambil langkah tidak popular seperti menaikkan harga minyak melainkan memang benar-benar terdesak untuk berbuat demikian.

Rakyat dah bijak dan matang......pembangkang bila lagi nak bijak dan matang?

Friday, July 4, 2008

Putar-belit Politik Anwar Ibrahim

Salam sejahtera,
Saya mewakili Pemuda UMNO berasa bertanggungjawab untuk menjawab segala tuduhan Anwar Ibrahim ke atas YAB Dato’ Seri Perdana Menteri dan juga YAB Dato’ Seri Timbalan Perdana Menteri.
Amat jelas Anwar cuba mengelirukan masyarakat untuk mengalihkan tumpuan daripada kes liwat beliau kepada pelbagai fitnah yang beliau putar belitkan ini dengan mengaitkan pucuk pimpinan negara.
PM telahpun menasihati supaya rakyat menyerahkan kes ini kepada pihak berkuasa untuk menyiasatnya secara adil dan profesional,namun Anwar tetap terus menghasut rakyat dengan pelbagai retorik.
Tindakan beliau jelas menunjukkan ketidak-cerdikkannya (stupidity). Sepatutnya setelah dituduh terlibat dalam kes, beliau menyerahkan kepada mahkamah untuk mengadilinya mengikut lunas undang-undang negara.
Anwar bersembunyi di Kedutaan Turki dengan alasan nyawa dan keselamatan beliau terancam, namun pada keesokan harinya beliau telah mengadakan perhimpunan dengan ahli-ahli PKR di Shah Alam. Ini jelas menunjukkan bahawa alasan bahawa nyawa beliau diancam adalah direka dan sekadar untuk menutupi tuduhan yang dibuat terhadap beliau.
Kemudiannya beliau sanggup menggadaikan kedaulatan tanahair sendiri dengan menarik masuk peranan negara pro Yahudi, Amerika Syarikat untuk menentang sebarang penyiasatan atau pendakwaan yang bermotifkan politik dalam kes itu.
Jangan kita biarkan sejarah berulang lagi dimana kejatuhan negara Islam adalah disebabkan campur tangan kuasa luar yang akhirnya dengan perancangan teliti mereka,umat Islam bergaduh sesama sendiri dan berpecah-belah.
Dengan tegas saya memberi amaran kepada Anwar supaya tidak bersifat kurang ajar di dalam kenyatan beliau terhadap pemimpin negara kita terutamanya PM yang begitu teleransi dalam menguruskan isu negara.
Saya juga mencabar Anwar dan 'mangsanya', Saiful untuk menyahut seruan Mufti Perlis supaya kedua-duanya bersumpah di hadapan Al-Quran di dalam Masjid Negara bagi membuktikan siapa yang benar.
Akhir sekali, demi negara saya ingin mengingatkan semua rakyat supaya kita semua dapat bersatu hati menyokong pemimpin memberpertahankan kedaulatan negara dari dicemari kemelut yang kita hadapi hari ini.